2021 jadi pedoman untuk melangkah ke 2022 – Raja Muda Perlis
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah tahun 2021 memberikan pengalaman serta mengajar dan menjadi sumber pembakar semangat selain pedoman positif untuk kita sama-sama maju kehadapan dalam pelbagai perkara di tahun 2022 yang akan muncul sehari dua lagi.
Baginda berharap rakyat meninggalkan yang negatif dan mengenang kembali setiap kejayaan dan pencapaian cemerlang yang diperolehi samada oleh diri, keluarga, masyarakat, organisasi mahupun negara sebagai panduan di masa hadapan.
“Kita banyak belajar daripada pelbagai peristiwa termasuklah Covid-19, banjir besar, politik dan lain-lain yang seharusnya menjadikan kita lebih cekal dan sewajarnya mendidik kita supaya memberikan lebih perhatian terhadap pelbagai aspek. Kesedaran berkaitan kesihatan juga semakin meningkat dan ramai mula peka dengan tahap kesihatan diri dan keluarga”.
“Kita sedar kehidupan ini sentiasa menjanjikan cabaran dan perlu berusaha bangkit memajukan diri. Segala yang dimiliki hari ini tidak kekal termasuklah harta benda dan perniagaan yang bila-bila masa sahaja boleh terjejas akibat penularan penyakit, bencana dan sebagainya.
Demikian titah Tuanku Raja Muda selepas berkenan berangkat menerima zakat perniagaan QSR Brands (M) Holdings Bhd bagi tahun 2021 berjumlah RM50,965 yang dipersembahkan oleh Pemangku Ketua Jabatan Shariah dan Pematuhan Halal syarikat berkenaan, Hayazi Darus di Bangunan MAIPs, Kangar.
Hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.
Pada kesempatan yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra menitahkan ucapan berbanyak terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kesejahteraan kepada baginda seisi keluarga dan juga kepada yang telah mempersembahkan ucapan selamat menyambut hari ulangtahun keputeraan kepada baginda pada 30hb Disember 2021 melalui pelbagai medium termasuklah kad, surat, whatsapp, media sosial lain serta cendera kenangan yang tidak dapat baginda jawab satu persatu.