Rencah Hidup

Rezeki pasca banjir, nelayan tangkap kelah merah harga RM3,100

SEORANG nelayan di Sungai Tanum di Kampung Chegar Perah, Abd Hadi Sulaiman, 47, memperolehi ikan kelah merah atau nama saintifiknya, Tor putitora yang merupakan satu-satunya spesies liar di sungai yang paling mahal di pasaran.

Abd Hadi berkata, banjir yang melanda kampung itu bulan ini membawa tuah di sebalik menanggung kesusahan menjadi mangsa banjir akibat Sungai Tanum melimpah masuk ke rumah.

Katanya, apabila air sungai surut dua hari lalu, dia mengambil kesempatan memasang jaring sambil berharap untuk memperoleh ikan liar untuk dijual bagi menampung perbelanjaan selepas banjir.

“Semalam pada 6.30 patang, saya turun memasang jaring di Sungai Tanum berdekatan rumah sambil berdoa serta mengharap ada rezeki ikan liar terperangkap dalam jaring ini.

“Apabila turun ke sungai ini pada 7 pagi untuk melihat jaring yang dipasang, saya ternampak jaring bergoyang dengan kuat seolah-olah seekor ikan besar tersangkut dan ikan menggelepar sehingga air berkocak di permukaan sungai,” katanya.

Menurut Hadi, Allah memakbulkan permintaannya apabila ditarik sahaja jaring ke atas ternampak seekor ikan kelah merah bersaiz besar yang tidak pernah ditangkap sejak dia bekerja sebagai nelayan Sungai Tanum, 20 tahun lalu.

“Saya menarik jaring perlahan-lahan ke atas bot gentian kaca kerana bimbang jika rezeki ikan kelah yang kuat menggelepar ini terlepas ke sungai semula.

“Apabila sudah naik ke darat dan dibawa pulang ke rumah, saya terus menimbang ikan ini. Berat ikan ini ialah 12.4 kilogram menyebabkan saya terpegun seketika sambil membayangkan jumlah pendapatan hari ini,” katanya.

Jelasnya, apabila membuat pengiraan, dianggarkan dia memperoleh RM3,100 berasaskan harga sekilogram ikan kelah merah di pasaran hari ini iaitu RM250 sekilogram.

Hadi berkata, dia menjual ikan itu terus kepada pengusaha restoren di bandar Kuala Lipis dengan nilai tersebut kerana memerlukan wang untuk membeli peralatan rumah yang rosak akibat banjir dn persiapan persekolahan tahun depan.

“Saya bersyukur memperoleh rezeki ini dan bercadang untuk memasang jaring ini semula di tempat yang sama pada petang ini sambil berharap ada lagi ikan kelah merah atau spesies liar lain tersangkut pada jaring untuk juadah keluarga pula,” katanya. -SM

(Visited 553 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button