Nasional

Gangguan bekalan air di 472 kawasan, 3 wilayah

PENGURUSAN Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan, 472 kawasan di tiga wilayah iaitu Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Gangguan itu disebabkan dua loji rawatan air (LRA) terpaksa dihenti tugas dan satu loji beroperasi pada pengeluaran separa berikutan peningkatan paras sungai yang mengakibatkan banjir.

“Bagi LRA Langat 2, berlaku penutupan bekalan elektrik kecemasan di muka sauk Semantan yang mengakibatkan ketiadaan bekalan air di LRA Langat 2.

“Di LRA Sg Langat, peningkatan paras kekeruhan air yang tinggi mengakibatkan LRA hanya mampu mengeluarkan 40% daripada pengeluaran harian manakala LRA Cheras Batu 11 terpaksa dihenti tugas berikutan banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, buat masa ini, Air Selangor tidak dapat menjangkakan tempoh untuk LRA Cheras Batu 11, LRA Langat 2 dan LRA Sg Langat kembali beroperasi sepenuhnya.

Mereka juga tidak dapat menggerakkan bantuan bekalan air melalui lori tangki kepada pengguna dan kawasan terjejas kerana banyak jalan utama ditutup akibat banjir.

“Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa,” katanya.

Pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi di aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button