Tidak mungkin PN bersama PH jika DAP masih ada
Perikatan Nasional tidak mungkin dapat bergabung atau mengadakan kerjasama dengan Pakatan Harapan sekiranya DAP masih lagi menjadi salah satu komponen parti pembangkang itu.
Perkara tersebut ditegaskan Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.
Menurutnya, keputusan itu dibuat berdasarkan pengalaman Bersatu yang pernah mengadakan kerjasama dengan PH sebelum ini.
“Dalam bentuk PH yang sedia ada ini tak mungkin. Bukan sebab kita tak suka perpaduan. Pasal ada banyak yang ketara saya ada pengalaman di situ. Sebab itu kita buat keputusan untuk meninggalkan PH berpegang pada prinsip yang saya telah sebutkan tadi sukar.
“Tak tahulah kalau ada perubahan besar yang berlaku dalam PH antara faktor yang menyebabkan kita tidak bersama-sama ialah kerana satu daripada parti yang ada dalam itu dilihat sebagai tidak pro- Melayu, bumiputera. Banyak sejarahnya pertikaikan hak dan sebagainya,” kata Muhyiddin dalam sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Bersatu ke-4 di ibu negara.
Muhyiddin mengulas saranan bekas ketua menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang menyarankan agar Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional pimpinan Bersatu bersama-sama menentang BN dalam pilihan raya umum akan datang,
Presiden Bersatu itu berkata, kerjasama antara PN dan PH hanya boleh berlaku jika terdapat perubahan dan rombakan ketara dalam PH.
“Sebab itu saya tidak fikir perkara itu boleh berlaku kecuali ada rombakan besar dalam PH menyebabkan kita boleh meneliti. Tapi ketika ini, saya tidak fikir begitu,” tegas Muhyiddin.
Dalam saran yang dilaporkan oleh sebuah portal berita, Idris yang merupakan Bekas pemimpin Umno yang kini bersama PKR itu percaya PH memerlukan “wow factor” untuk memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
“Kena ada satu wow factor, mesti ada sesuatu besar berlaku dalam PH. Saya lihat kalau PH pergi solo, kita mungkin hadapi kesukaran mendapat sokongan pengundi-pengundi yang ikut parti.
“Jadi saya melihat wow faktor tu, salah satunya kalau ada kerjasama antara PH dan PN semula,” katanya kepada Malaysiakini dalam wawancara eksklusif minggu lalu.
Menurut Idris, kekalahan PH di Melaka adalah disebabkan perpecahan undi antara PH dan PN.
Katanya, ia juga disebabkan beberapa faktor lain termasuk peratusan keluar mengundi yang rendah dan PH hilang sokongan daripada pengundi Melayu di beberapa kerusi.
“Saya tetap katakan kekalahan PH dalam PRN Melaka ini sebab perpecahan PH dan PN tu sendiri. Saya kata ralat sebab kita tak sempat suarakan, memandangkan BN sungguh-sungguh tolak PN dalam kerjasama PRN tempoh hari. Cuma tak ada tawaran dari PH (untuk kerjasama dengan PN).
“Mungkin kalau itu berlaku senarionya berbeza,” kata Idris.
Bersatu merupakan bekas parti komponen PH bersama PKR, DAP dan Amanah. Ketika bersama dalam satu gabungan, PH menewaskan BN buat julung-julung kalinya pada PRU 2018.-SM