Politik

BERSATU tidak gadai amanah dan integriti

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa BERSATU tidak pernah menggadaikan prinsip amanah dan integriti yang menjadi nilai penubuhan parti meskipun telah diugut dan ditekan secara politik.

Menurut beliau, prinsip perjuangan yang tidak sesekali berkompromi dalam soal rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan tetap dipertahankannya walaupun terpaksa melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Sebagai seorang Islam saya sentiasa diperingatkan dengan suatu panduan penting apabila berhadapan dengan keadaan yang agak mengecewakan. Panduannya ialah La takhaf wa la tahzan. Janganlah kamu takut, janganlah kamu kecewa.

“Walaupun saya sebagai Presiden BERSATU dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) tidak lagi menjadi Perdana Menteri, kita buktikan secara nyata kepada rakyat bahawa kita bukan parti yang rakus kuasa. Kita bukan parti yang tamak haloba. Kita bukan parti gangster,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahun BERSATU 2021 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Ujar Muhyiddin, sokongan yang diberikan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah berdasarkan perjanjian serta terma-terma tertentu yang telah dipersetujui bersama.

“Tetapi sepertimana yang disebut oleh YAB Perdana Menteri sendiri, UMNO kembali memegang tampuk kerajaan bukan kerana parti itu mempunyai jumlah kerusi majoriti di Parlimen, tetapi kerana sokongan yang diberikan oleh parti-parti Perikatan Nasional, GPS, PBS dan beberapa Ahli Parlimen bebas.

“Jadi, saya ingin berpesan kepada pihak-pihak tertentu di dalam UMNO. Hormatlah sedikit. Jangan mudah lupa diri,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin memberitahu,
BERSATU akan melipat gandakan usaha untuk mengukuhkan struktur parti terutamanya di peringkat akar umbi dan
penubuhan sayap baharu Srikandi Muda diyakini dapat menarik penyertaan lebih ramai wanita muda ke dalam parti.

Beliau juga merakamkan penghargaan tidak terhingga kepada rakan-rakan komponen dalam PN iaitu PAS, GERAKAN, STARSABAH dan SAPP yang terus istiqamah bersama BERSATU dalam perjuangan untuk membela nasib rakyat.

“Tidak ada abang besar dalam PN. Tidak ada sebuah parti yang mendominasi parti lain dalam PN. PN dibentuk atas semangat perkongsian yang saksama yang mana semua parti mendapat layanan yang adil dan saksama. Semua keputusan dibuat secara kolektif dalam semangat musyawarah dan setiakawan yang tinggi,” katanya.

Ujar Muhyiddin lagi, PN yang telah menyertai dua Pilihan Raya Negeri setakat ini telah mendapat kejayaan sehingga membentuk Kerajaan Negeri di Sabah tahun lalu manakala keputusan di Melaka baru-baru ini, walaupun hanya memperoleh dua kerusi, para penganalisa politik menyaksikan trend pertambahan sokongan pengundi terutamanya pengundi muda.

Sementara itu, terdahulu dalam ucapan berkenaan, Muhyiddin turut menzahirkan rasa dukacita dan simpati atas bencana banjir yang sedang melanda beberapa buah negeri iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan BERSATU akan menggerakkan Tabung Bantuan Mangsa Banjir 2021 dengan dana permulaan RM1 juta dan kesemua jentera parti akan turun ke kawasan terjejas untuk membantu mangsa banjir sejurus perhimpunan agung tahunan parti selesai.

(Visited 183 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button