Nasional

Ibu maut leher dikelar anak dipercayai penagih dadah

SEORANG lelaki dipercayai penagih dadah mengelar leher ibu kandungnya hingga maut dalam kejadian di Kampung Batu 5, Jalan Jeniang, Kedah kira-kira pukul 7 pagi tadi.

Mayat mangsa, Sarah Jon, 70, ditemukan dalam keadaan terlentang di ruang tamu rumahnya dengan kesan kecederaan di leher, telinga dan tangan.

Memetik laporan BHOnline, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata, polis mendapat maklumat dari orang awam berhubung kejadian itu pada pukul 7.30 pagi.

Suspek yang merupakan anak lelaki mangsa bagaimanapun maut digilis lori kira-kira satu kilometer daripada rumah mereka.

Adzli berkata, anak lelaki mangsa kelar berusia 31 tahun menunggang motosikal dan berhenti di tepi jalan, sebelum meluru ke tengah ketika lori menghampirinya.

Related Articles

“Lelaki itu meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Adzli berkata, dua beranak terbabit hanya tinggal berdua di rumah berkenaan dan mereka dikatakan kerap bertengkar.

“Kali terakhir pertengkaran dikatakan berlaku malam tadi dan didengari jiran dan saudara yang tinggal berhampiran.

“Suspek dikatakan mengalami masalah ketagihan dan meminta wang daripada ibunya untuk membeli dadah,” katanya.

Menurut Adzli, suspek yang bekerja sebagai penoreh getah dan masih bujang itu mempunyai enam rekod lampau bersabit kes dadah dan pesakit mental.

“Berdasarkan sisa syabu yang masih ada bersama peralatan menghisap dadah, kita tidak menolak kemungkinan dia menghisap dadah di rumah berkenaan dan diketahui ibunya.

“Mayat dua beranak itu kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Sungai Petani untuk bedah siasat,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button