Bapa Nurin Jazlin tuntut keadilan kes anaknya 14 tahun lalu
SEDAR tak sedar, sudah 14 tahun peristiwa tragis yang mengemparkan negara melibatkan kanak-kanak perempuan yang bernama Nurin Jazlin, 8 tahun.
Kes tersebut berlalu pergi tanpa ada sebarang perkembangan dan sehingga kini pelaku yang menyebabkan kematian Allahyarham menjadi tanda tanya.
Baru-baru ini bapa kepada Nurin, Jazimin Abdul Jalil meluahkan perasaanya mengenai kes tersebut menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurut Jazimin, dia memuat naik hantaran tersebut di Facebook kerana dia tiba-tiba teringat mengenai kes anaknya, Nurin.
Jazimin juga berkata, dia sudah menanti selama bertahun-tahun agar keadilan sewajarnya diberikan kepada anak kesayangannya itu.
“Bila la pihak berwajib nak selesaikan kes Nurin Jazlin dimana keadilannya bertahun-tahun lamanya saya menunggu dan menanti.
“Keadilan untuk Nurin Jazlin masih tidak ada apa-apa berita,” katanya.
Jazimin turut berharap pihak berwajib dapat selesaikan kes Nurin dengan segera.
Sementera itu, menjengah di ruangan komen, ramai netizen menitipkan doa supaya kes berkenaan dapat diselesaikan dengan segera.
Kes Nurin telah menggemparkan negara apabila mayat Nurin dijumpai di dalam sebuah beg pakaian dengan beberapa kesan kecederaan teruk dipercayai dirogol oleh individu tidak berhati perut.
Allahyarham yang ketika itu berusia lapan tahun dipercayai telah keluar ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju sebelum dilaporkan hilang pada 20 Ogos 2007.
Selepas 27 hari, mayatnya dijumpai dalam sebuah beg sukan di hadapan sebuah kedai di Jalan PJS 1/48, Petaling Jaya. -SM