Berita

YTF anjur webinar siri kedua

Slot ke-dua “Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) Siri Ke-2’ yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) secara maya bertemakan “Women in Search of Excellence (WISE) bertajuk “Diskusi Sembang Santai : Wanita dan Pandemik” pada selasa membariskan 3 orang panelis dalam bidang kesihatan.

Ahli-ahli panel dimaksudkan adalah Pakar Perunding Kanan Kesihatan Awam dan Pengurusan Hospital, Mantan Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dato’ Dr Zaininah Mohd Zain, Pakar Perunding Kanan O&G dan Pakar Ginekologi Onkologi Hospital Sultanah Bahiyah Dato’ Dr Zaridah Shaffie serta Pakar Perundangan Kanan Anestesiologi, Kardiotorasik dan Perfusi merangkap Mantan Presiden Kolej Pakar Anestesiologi, Akademi Perubatan Malaysia Dato’ Dr Jahizah Hassan.

Menurut Zaininah, wanita berperanan sebagai penyeri, penghibur serta tunjang keluarga. Semasa PKP kita diberikan peluang oleh Allah SWT untuk bersama keluarga dan apa yang kita lakukan akan diperhatikan dan dicontohi oleh anak-anak. Kita juga melihat pemergian orang di sekeliling kita termasuklah ahli keluarga dan sahabat yang meninggal dunia akibat Covid-19. Ini menginsafkan kita dan membuatkan kita terfikir apakah bekalan yang akan dibawa. Akan adakah di antara anak-anak kita ini menjadi anak soleh dan solehah yang akan menjadi syafaat bagi kita. Kita didik anak-anak berpelajaran tinggi, menjadi profesional serta berstatus, tapi pencapaian semua itu hanya untuk di dunia ini, bukan dari kacamata Allah SWT.

Justeru, manfaatkanlah masa sebaiknya dengan menjadi contoh terbaik kepada anak-anak kita. Amalan dalam keluarga seperti menunaikan solat berjemaah, bertazkirah, membaca dan mendalami Al-Quran serta amalan gemar bersedekah. Jadilah keluarga yang menyayangi Al-Quran dan disayangi oleh Al-Quran.

Sepanjang pandemik Covid-19 dan PKP, ia diibaratkan seperti kita melayari sebuah kapal, di mana kita tidak boleh mengubah arah angin kencang tetapi kita boleh menyesuaikan layar kapal kita untuk sampai ke destinasi yang dituju.

Melibatkan diri sebagai sukarelawan membantu jiran dan mereka yang terkesan termasuk memberikan bekalan harian, menolong warga emas yang perlu ke hospital untuk mendapatkan rawatan, membawa jiran dan mereka untuk mendapatkan vaksinasi serta memberi sesi kaunseling kapada keluarga yang dijangkiti Covid-19.

Hikmah PKP ini, beliau mempelajari aplikasi teknologi terkini, cekap menjalankan kaunseling, bermesyuarat dan berseminar atas talian. Belajar pengurusan dan kepimpinan yang berkesan bagi seorang wanita sebenarnya bermula dari rumah. Jika kita dapat uruskan keluarga kita menjadi satu keluarga bahagia, harmoni, saling hormat menghormati dan penuh kasih saying maka kita telah berjaya menjadi seorang pemimpin dan pengurus yang berjaya. Di tempat kerja, kita akan dapat menjalankan tugasan dengan lebih cemerlang dan efektif, jelasnya.

Jahizah berkata, wanita yang terlibat sebagai barisan hadapan termasuklah doktor dan kakitangan yang lain sebenarnya adalah barisan terakhir yang perlu cekal dan terpaksa menghadapi cemuhan serta sindiran daripada golongan anti-vaksin yang mempertikaikan pengambilan vaksin dan prosedur seperti intubasi dan penggunaan alat bantuan pernafasan kepada pesakit kritikal tahap 5, Covid-19. Menurut beliau ia merupakan ‘kaedah perawatan di ICU’ antara usaha dan ikhtiar yang dilakukan dan prosedur tersebut merupakan langkah terakhir yang terpaksa diambil bagi menyelamatkan nyawa dan menjadi tanggungjawab yang amat berat apabila terpaksa berhadapan keluarga pesakit untuk memaklumkan situasi terkini serta kematian ahli keluarga mereka. Ianya bukanlah suatu tugas yang mudah
malah perlu perancangan yang teliti dengan pemakaian PPE kerana boleh menjangkiti kakitangan yang menjalankan prosedur tersebut.

Sementara itu, Zaridah pula turut melahirkan rasa syukur dan bangga kerana Tuanku Raja dan Tuanku Raja Perempuan Perlis begitu juga Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda Perlis menjadi antara pemimpin terawal yang mengambil vaksin di Perlis. Kepercayaan terhadap program vaksinasi kerajaan dan tindakan ini memberikan impak yang amat besar kepada rakyat. Lebih membanggakan Duli-Duli Tuanku sentiasa mengambil berat terhadap barisan hadapan selain sentiasa memberikan sokongan moral terhadap mereka.

Tambah beliau lagi, pencegahan terhadap penyakit amat penting dan berharap Kerajaan akan memulakan agenda baharu iaitu ‘pencegahan’ bukan sahaja terhadap penularan Covid-19, bahkan juga terhadap penyakit-penyakit yang lain. Golongan wanita memainkan peranan utama di dalam usaha pencegahan ini di mana di rumah merekalah yang perlu menyediakan masakan berkhasiat kepada ahli keluarga, memantau tahap kesihatan dan mengawal tingkah laku anak-anak.

Tambah Zaridah, wanita hamil amat perlu dilindungi daripada Covid-19 kerana mereka merupakan golongan yang amat mudah dijangkiti. Berdasarkan fakta, 1 dalam 220 pesakit Covid-19 adalah ibu hamil, 1 dalam 160 kematian Covid-19 adalah ibu hamil dan 1 dalam 20 kemasukan ICU adalah ibu hamil.

Tidak ada kematian ibu hamil disebabkan Covid-19 pada tahun 2020 tetapi pada Januari hingga September 2021 terdapat seramai 196 orang mati akibat Covid-19 iaitu satu peningkatan yang amat ketara.

Zaridah menerangkan yang ada ibu-ibu yang ditakutkan oleh golongan anti-vaksin bahawa pengambilan vaksin akan memberikan kesan buruk terhadap bayi mereka. Jadi ada para ibu hamil yang sanggup tidak mengambil perlindungan vaksin. Sehingga kini masih belum ada sebarang laporan berkaitan bayi yang menghidapi kesan buruk akibat pengambilan vaksin ini. Justeru, beliau amat menyeru semua untuk mengambil vaksinasi, memujuk ahli keluarga terutamanya ibu hamil serta bersama-sama menangani golongan anti-vaksin.

Menutup sesi kedua tersebut, Zaininah berkata wanita itu ibarat sebutir berlian yang bersinar, maka carilah berlian di dalam diri masing-masing. Walau setinggi mana wanita itu pergi, wanita masih perlu berdiri teguh di samping suami masing-masing kerana kejayaan seorang suami itu kerana adanya wanita di belakangnya. Mengakhiri sesi pagi tersebut kesemua panel melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak YTF dan MAIPs serta agensi-agensi lain yang terlibat di atas kejayaan penganjuran seminar tersebut.

Terdahulu, dalam titah perasmian baginda, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Penasihat DiRaja YTF berkongsi mengenai kini ramai Wanita berperanan sebagai barisan hadapan seperti doktor, jururawat, polis mahupun sukarelawan. Ini menunjukan golongan ini mampu melaksanakan peranan dalam mencegah virus ini daripada terus menular.

(Visited 448 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button