Politik

Jam Rolex: Menteri agama maafkan Siti Kasim

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad memaafkan kesilapan yang dilakukan peguam Siti Zabedah Kasim berkaitan dakwaan memakai jam berjenama mewah Rolex.

Idris yang juga Naib Presiden Pas itu dalam satu kenyataan ringkas turut mendoakan Siti Kasim dikurniakan kesihatan yang baik selain turut mendoakan peguam tersebut dijauhi daripada jangkitan virus maut Covid-19.

“Insya-Allah saya maafkan. Saya doakan semoga Pn Siti diberi kesihatan yang baik dan dijauhkan virus Covid,” kata Idris di media sosialnya.

Sebelum itu Siti Kasim telah memohon kemaafan daripada Idris berkaitan satu hantaran yang dibuat oleh beliau di Twitternya. Dalam hantaran itu Siri Kasim mahu pengikut di Twitter melihat jam yang dipakai Idris yang disangkanya sebagai Rolex.

Siti Kasim mengakui bahawa beliau telah tersilap dalam sangkaannya bahawa Idris memakai jam berjenama mewah tersebut.

“Minta maaf Ustaz sebab saya memang salah,” ciap Siti Kassim menerusi akaun Twitter.

Pada 4 September lalu di Twitternya Siti Kasim berkongsi gambar Idris sedang duduk di atas lantai sambil berdoa.

Dalam gambar itu tangan Idris memakai sebuah jam berwarna emas yang disangka oleh Siti Kasim sebagai Rolex.

“Dengar-dengar dia adalah Menteri Agama yang baru sekarang. Heboh berdoa di lantai pejabat. Juga memakai tanda nama Jawi sahaja. Tiada BM. Tetapi lihat jam tangan emas Rolex-nya,” ciap Siti Kasim di Twitter.

Idris menjawab ciapan Siti Kasim dengan menerangkan jam yang dipakai olehnya adalah dari jenama Buruj.

Jam yang berharga kurang RM300 digunakan oleh Idris untuk memeriksa waktu solat dan arah kibat yang telah digunakan sejak sekian lama.

“Untuk pengetahuan, jam Buruj ni lama dah saya pakai, senang nak tahu waktu solat dan arah kiblat.

“Boleh solat kat mana-mana. Dalam pejabat yang baru masuk pun boleh solat sebab senang nak tentukan arah kiblat,” terang Idris.

Berikutan dakwaan Siti Kasim dan jawapan oleh Idris jam jenama Buruj tersebut kehabisan stok kerana banyak ditempah melalui dalam talian.

Malah laman sesawang yang menjual produk itu turut menjadi sesak sehingga menyukarkan pelanggan mengekses untuk memberi jam berkenaan.-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button