Berita

Jujur laksana kuarantin kendiri, seru Raja Muda Perlis

Setiap individu harus jujur melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan mengamalkan kuarantin kendiri di rumah sekiranya terlibat dengan aktiviti berisiko seperti merentas negeri, menghadiri majlis kematian dan sebagainya.

Seluruh masyarakat juga wajib untuk mematuhi arahan kuarantin yang dikeluarkan oleh pihak kesihatan jika telah dikenal pasti sebagai individu yang disyaki, kontak rapat atau kes positif Covid-19 yang dikelaskan sebagai sesuai dirawat di rumah. Justeru, individu terbabit perlu untuk kekal tinggal di rumah melainkan bagi mendapatkan rawatan perubatan kecemasan.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut hebahan media yang disiarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas berkenan berangkat mempengerusikan ‘Mesyuarat Penyelarasan MAIPs bersama agensi-agensi di bawah naungannya dengan Jabatan Kesihatan Negeri Perlis’ yang diadakan secara atas talian pada petang semalam.

Hadir sama, Mufti Perlis Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Tambah Tuanku Raja Muda, ‘Penjagaan yang khusus terhadap ahli keluarga dalam kalangan warga emas dan berpenyakit kronik hendaklah terus diberikan oleh semua kerana mereka ini amat berisiko dan dikhuatiri boleh mendapat komplikasi yang lebih teruk sekiranya dijangkiti oleh virus Covid-19’.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Sirajuddin Hashim mengingatkan
setiap ketua keluarga supaya terus memainkan peranan dengan memantau status kesihatan diri dan juga setiap ahli keluarga masing-masing. Pastikan semua ahli keluarga yang layak divaksin untuk segera mendaftar dan seterusnya mendapatkan suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terdekat. Tindakan ini amat penting kerana dapat melindungi ahli keluarga masing-masing yang masih belum layak menerima vaksin seperti kanak-kanak dan mereka yang tidak sihat kerana penyakit kanser dan lain-lain lagi penyakit. Maka, jadilah ‘payung’ yang dapat melindungi orang tersayang kita daripada ‘hujan’ ketika ini.

‘Seluruh rakyat juga wajib mengamalkan norma atau kebiasaan baharu di sepanjang masa dengan memastikan pemakaian pelitup muka yang betul, kerap mencuci tangan dan mengamalkan penjarakan sosial’ tegas Dr Sirajuddin.

(Visited 235 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button