Bank Rakyat sambut ulang tahun ke-67, tawar hadiah lebih RM300,000
Bank Rakyat menawarkan hadiah bernilai lebih RM300,000 menerusi Kempen Jalinan Bank Rakyat 67 bermula 1 September 2021 hingga 31 Oktober 2021 sempena ulang tahunnya yang ke-67.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Syed Abdul Aziz Syed Hassan, penganjuran kempen yang berkonsepkan langgan dan menang ini bukan sahaja dapat membantu pelanggan merancang kewangan dengan bijak menerusi tawaran pembiayaan yang disediakan, malah sebagai inisiatif Bank bagi menghargai kesetiaan pelanggan dengan menawarkan pelbagai hadiah menarik.
“Orang ramai boleh merebut peluang dengan menyertai kempen menerusi langganan produk Pembiayaan Peribadi-i dan Pembiayaan PKS/Mikro/Koperasi,” katanya.
Dato’ Syed Abdul Aziz berkata, seramai 67 pemenang cabutan bertuah bagi bulan September dan 67 pemenang lagi bagi bulan Oktober yang melanggan produk Pembiayaan Peribadi-i dengan pembiayaan minimum sebanyak RM30,000 berpeluang untuk memenangi wang tunai keseluruhan berjumlah RM134,000 yang mana masing-masing menerima RM1,000 setiap seorang.
Manakala, seramai 67 pelanggan bertuah yang melanggan produk Pembiayaan PKS/Mikro/Koperasi dengan pembiayaan minimum sebanyak RM20,000 bakal memenangi wang tunai keseluruhan berjumlah RM106,000.
“Bagi kategori produk Pembiayaan PKS/Mikro/Koperasi ini, pelanggan berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 bagi tempat pertama, RM5,000 bagi tempat kedua, RM2,000 bagi tempat ketiga. Ketiga-tiga pemenang ini juga akan memenangi slot temu bual program Assalammualaikum di TV Al-Hijrah secara percuma bernilai RM21,000. Manakala, tempat keempat hingga ketujuh akan menerima RM2,000 setiap seorang dan RM1,000 bagi setiap 60 pelanggan bertuah yang lain,” katanya.
Lebih menarik lagi, seramai 67 pelanggan bertuah dengan jumlah langganan produk Bank Rakyat tertinggi dari 1 Januari hingga 31 Disember 2021 berpeluang untuk memiliki saham Bank Rakyat atau Akaun Deposit-i Berjangka, dengan jumlah keseluruhan bernilai RM134,000.
“Kami menghargai pelanggan setia yang melanggan pelbagai produk di Bank Rakyat. Oleh itu, pelanggan yang melanggan lebih banyak produk dalam tempoh setahun ini, antaranya akaun Simpanan-i, Deposit-i, Semasa-i, pembiayaan, Pajak Gadai-i, Kad Kredit-i dan pelbagai lagi berpeluang untuk memenangi saham Bank Rakyat dan memiliki Akaun Deposit-i Berjangka,” ujar beliau.
Selain itu, Bank Rakyat turut komited membantu masyarakat yang terkesan akibat pandemik COVID-19 menerusi program jangkauan komuniti Jalinan 67 yang akan bermula pada 7 September 2021 hingga 30 September 2021 ini.
“Program ini memanfaatkan 67 penerima daripada setiap golongan sasaran terpilih yang terdiri daripada golongan mualaf, murid sekolah rendah dan menengah, pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, usahawan terjejas, keluarga B40 dan orang asli. Pada masa yang sama, bayi yang lahir pada 28 September 2021 di Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang akan diberikan hadiah istimewa sebagai simbolik terhadap tempat lahirnya Bank Rakyat iaitu di Bukit Mertajam pada 67 tahun yang lalu,” jelas beliau.
Dalam pada itu, sebagai inisiatif untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda, Kelab Nuri Bank Rakyat telah melancarkan Peraduan Mewarna Merdeka Kelab Nuri bagi kategori umur 7 hingga 12 tahun serta Peraduan Sambutan Hari Kebangsaan bagi kategori umur 13 hingga 17 tahun menerusi media sosial rasmi Kelab Nuri.
“Kedua-dua peraduan ini berlangsung dari 23 Ogos hingga 5 September 2021 ini yang mana 20 peserta bertuah akan memenangi hadiah berjumlah keseluruhan bernilai RM4000,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi Bank Rakyat di www.bankrakyat.com.my hubungi Pusat Kad Bank Rakyat di talian 03-2693 6880, Pusat Panggilan di talian 1300 80 5454 atau kunjungi cawangan Bank Rakyat yang berhampiran serta ikuti media sosial rasmi Bank Rakyat facebook.com/myBANKRAKYAT, twitter.com/myBANKRAKYAT dan instagram.com/myBANKRAKYAT. – SM