Bila 111 bukan lagi majoriti
RAMAI yang pening apabila 31 ahli parlimen UMNO menyokong kerajaan berbanding lapan ahli parlimen yang menentang kerajaan, kerana apabila dicampur dengan jumlah pembangkang lain, kerajaan kehilangan majoriti sokongan.
Setiausaha Agong UMNO Datuk Ahmad Maslan memberikan matematik mudah bahawa kerajaan hari ini tidak lagi mempunyai sokongan majoriti kerana hanya 102 yang menyokong Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Permainan nombor ini sudah lama dimainkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kini kumpulan jajaran baharu yang menganut fahaman itu mulai bermain dengan nombor bagi mengelirukan masyarakat.
Mereka terus bermain permainan itu walaupun Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan Muhyiddin untuk membuktikan keabsahan kerajaan hari ini melalui undi percaya pada sidang Dewan Rakyat, September ini.
Persoalannya mengapa undi percaya dan tidak undi tidak percaya. Di dalam sistem parlimen negara kita, pada kebiasaannya undi tidak percaya tidak akan diluluskan.
Jadi bagi meneruskan sistem berkenaan Perdana Menteri mencadangkan usul percaya.
Apabila usul itu diluluskan dan ahli parlimen akan mengundi. Undian boleh dibuat dengan beberapa cara iaitu dengan mengangkat tangan, berdiri, bertulis atau bersuara setuju atau tidak setuju.
Dalam hal ini besa kemungkinan akan dibuat undi secara bertulis bagi mengelakkan kekeliruan.
Jika undi secara bertulis bermakna hanya individu yang mengundi dan Tuhan sahaja yang tahu apa yang diundi.
Tidak bermakna mereka yang sebelum ini lantang menyokong kerajaan akan mengundi kerajaan, begitu juga sebaliknya.
Mungkin juga ada pihak yang tidak akan mengundi. Dan apabila ada yang tidak mengundi jumlah penentu majoriti 111 sudah tidak lagi terpakai.
Jika jumlahnya kecil tetapi mengatasi undi pembangkang, maka kerajaan akan tetap menang.
Mengapa 111 undi dikira majoriti kerana kini ahli parlimen hanya berjumlah 220 selepas dua daripada mereka meninggal dunia dan pilihan raya kecil tidak dapat diadakan berikutan darurat kesihatan ekoran penularan wabak Covid-19.