Ekonomi

Restoran Tiga Budak Gemok saman tiga individu, langgar hak cipta syarikat

Pemilik restoran terkenal Tiga Budak Gemok menerusi syarikat Tiga Budak Gemok Sdn. Bhd. telah mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan saman ke atas seorang individu dan dua syarikat atas dakwaan melanggar hak cipta syarikat itu serta pendaftaran salah cap dagangan.

Dalam kenyataan yang dibaca oleh Pengurus Operasi Syarikat, Khairul Anuar Abu Bakar, Tiga Budak Gemok Sdn Bhd selaku plaintif memfailkan saman melalui Tetuan Adnan Sharida & Associates pada 26 Julai lalu di Mahkamah Tinggi dengan menamakan Mohd Anil Ali Mohamad dan Maam Baraka Venture Sdn Bhd milik Mohd Anil serta Day Food Industry Sdn Bhd, selaku defendan pertama hingga ketiga.

“Pada akhir tahun 2019, pihak Syarikat mendapati bahawa terdapat satu perniagaan yang dinamakan “3BG Ayam Kicap Sambal Power” atau “3BG” yang meniagakan makanan yang sama dengan syarikat Tiga Budak Gemok Sdn Bhd iaitu Nasi Putih Ayam Kicap Sambal. Setelah siasatan dibuat, pihak Syarikat mendapati ianya dijalankan oleh bekas suami kepada Puan Natasha iaitu Mohd Anil Bin Ali Mohamad.

“Pihak Syarikat menegaskan pada awal tahun 2019, Anil telah diberikan kebenaran untuk membuka perniagaan Tiga Budak Gemok di Bangi Square dan dipersetujui oleh Natasha, Rafeel dan Natalia. Tidak lama selepas itu, terdapat pertikaian di antara Natasha dan Anil. Apabila terdapat pertikaian tersebut, ketiga-tiga adik-beradik setuju untuk tidak lagi membenarkan Anil untuk menjalankan perniagaan Tiga Budak Gemok tersebut di Bangi Square,” jelasnya dalam satu sidang media secara virtual semalam.

Beliau berkata, defendan ketiga iaitu Day Food Industry terbabit dengan defendan pertama (Anil) dan kedua (Maam Baraka Venture) dalam perniagaan 3BG apabila ‘3BG Distribution Centre’ berada dalam media sosial Facebook dan Instagram yang mempromosi perniagaan 3BG serta mengajak orang awam membuka perniagaan itu.


Jelasnya, pada awalnya, defendan mengguna pakai logo sama dengan logo plaintif dalam perniagaan itu dan sehingga kini terdapat beberapa cawangan (3BG) yang masih menggunakan logo plaintif dalam perniagaannya.

“Kami menegaskan bahawa pihak syarikat tiada masalah sekiranya mana-mana pihak ingin meniaga menu makanan Nasi Putih Ayam Kicap Sambal.

“Namun, apabila syarikat mendapati ketiga-tiga pihak tersebut menjalankan perniagaan makanan tersebut dengan menjenamakan perniagaan mereka sebagai ‘3BG Ayam Kicap Sambal Power’ atau ‘3BG’, ia telah menyebabkan kekeliruan kepada orang awam mengenai perniagaan syarikat dengan perniagaan ketiga-tiga pihak tersebut,” jelasnya.

Menurutnya, ketiga-tiga defendan tersebut terbabit dalam pelanggaran hak cipta kerana pihaknya tidak pernah menyerahkan hak kepada semua defendan untuk mengguna pakai hak cipta pihaknya sama ada nama perniagaan ‘Tiga Budak Gemok’, logo atau slogan ‘Ayam Kicap Sambal Power’.

Dakwanya, tindakan semua defendan mengelirukan orang awam dan gangguan perniagaan yang salah, tidak sah dan tidak adil, selain berniat jahat dan menipu untuk mengakibatkan kerugian serta kerosakan kepada plaintif.

Sehubungan itu, plaintif menuntut deklarasi antaranya defendan melakukan gangguan perdagangan menyalahi undang-undang apabila menjalankan suatu perniagaan sama dengan perniagaan dan cap dagang ‘Tiga Budak Gemok’ serta ‘Tiga Budak Gemok Ayam Kicap Sambal Power’ milik plaintif melalui perniagaan ‘3BG’ atau ‘3BG Ayam Kicap Sambal Power’, selain menuntut ganti rugi am, teladan, faedah dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Sementara itu, pada sidang media menerusi aplikasi Google Meet, peguam Datuk Adnan Seman yang mewakili syarikat Tiga Budak Gemok Sdn. Bhd. berkata, pihaknya dalam proses menyerahkan tuntutan saman kepada ketiga-tiga defendan.

“Mahkamah menetapkan 26 Ogos ini untuk pengurusan kes selanjutnya secara dalam talian di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Qasiratul Jannah Usmani Othman,” katanya.

Ketika ini, syarikat Tiga Budak Gemok Sdn. Bhd. mengendalikan 13 cawangan restoran dikendalikan tiga pengarah yang juga adik-beradik iaitu Natasha Helwa Ramlee, Muhammad Rafeel dan Natalia. -SM

(Visited 310 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button