Cabaran Zahid, Ismail dan Hisham
BEBERAPA jam selepas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengadakan sidang media secara maya, lebih tepat sejurus selesai mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, penyokong parti itu bersorak kegirangan.
Walaupun sidang media itu diadakan dini hari, tetapi ia membangkitkan keterujaan sangat dalam kalangan penyokong UMNO dan segera Zahid diangkat sebagai wira kerana Presiden berani bersuara menyatakan pendirian yang tegas.
Bagaimanapun apabila mentari menampakkan sinar paginya, keterujaan itu semakin pudar, lantaran verbatim mesyuarat MKT ditularkan termasuk rakaman video, mendedahkan perkara sebenarnya.
Yang tidak berani atau tidak mahu disebut oleh Zahid pada sidang media itu ialah ahli-ahli parlimen UMNO bebas berpendirian berhubung sokongan kepada kerajaan hari ini.
Ramai yang berpendapat Zahid bersama pasukannya telah menyediakan teks sidang media berkenaan lebih awal, bagaimanapun apabila mesyuarat MKT tidak berjalan seperti yang dirancang, mereka masih menggunakan teks dan pelan yang asal, cuma dengan diubahsuai sedikit.
Daripada menuduh kerajaan gagal, mereka mengalih serangan kepada perdana menteri yang gagal.
Ini adalah kerana UMNO tidak boleh menuduh kerajaan gagal, kerana Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammudddin Tun Hussein sebagai menteri kanan, sebelum berlangsung mesyuarat MKT.
Bahkan sebahagian besar kabinet dan GLC adalah dianggotai oleh ahli parlimen UMNO.
Menuduh kerajaan gagal ibarat meludah ke langit terkena muka sendiri.
Zahid sendiri sedar pentingnya kedudukan Ismail menjadi orang nombor dua dalam pentadbiran negara dan pada masa yang sama mengekalkan portfolio Menteri Pertahanan.
Banyak faedah yang akan diperolehi kepada parti dan para pemimpinnya serta ahli keseluruhannya.
Jadi bagi mengelak daripada terkena batang hidung sendiri, peluru telah dialihkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan gagal selaku Perdana Menteri dalam menangani wabak pandemik Covid-19, menyantuni kehidupan rakyat dan menguruskan ekonomi yang terjejas akibat krisis itu.
Sedangkan apa yang disebut oleh Zahid itu memang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan. Dan apakah jaminan jika ditukar perdana menteri semua masalah itu selesai.
Apa jaminan perdana menteri baharu akan dapat menurunkan jumlah jangkitan harian Covid-19.
Yang berlaku nanti hanya perdana menteri baharu menyalahkan perdana menteri yang lama. Ibarat lagu katak oh katak, yang menyalahkan semua orang kecuali diri sendiri.
Apa yang dibangkitkan oleh Zahid, sebenarnya telah dilaksanakan oleh kerajaan. Bagaimanapun dek kerana kejayaan pemimpin politik pembangkang dan separa pembangkang seperti UMNO membawa citra kehidupan yang normal sebelum pandemik ketika segalanya telah berubah kepada normal baharu, menyebabkan rakyat keliru dan sukar memahaminya.
Tidak ada kerajaan di dunia setakat ini yang berjaya menangani pandemik ini sepenuhnya dan kembali hidup normal sebelum penularan wabak berkenaan.
Dengan varian baharu Covid-19 yang lebih ganas, kerajaan perlu mengambil setiap langkah dengan lebih berhati-hati. Semua kerajaan di dunia ini tidak mempunyai kes rujukan untuk dijadikan panduan, kerana wabak ini menular di seluruh dunia dengan begitu cepat.
Jadi cabaran kepada Zahid kini adalah untuk mengasingkan kepentingan peribadi bagi mengatasi kepentingan negara. Sikap semborono beliau bukan sahaja menjejaskan nama baik sendiri bahkan mengheretkan partinya.
Gambaran selaku presiden parti yang tidak tetap pendirian dan sering berusaha menggugat kestabilan politik negara yang akhirnya menggugatkan kestabilan negara demi kepentingan peribadi ia adalah satu perlakuan yang sangat jelek.
Bagi Ismail pula beliau perlu segera bekerja. Dan kerja utama yang harus dituntaskan ialah meredakan suhu politik UMNO dan sekaligus ketegangan politik negara.
Ismail tidak lagi boleh menunggu esok atau lusa baharu hendak bergerak dan jika ini berlaku ramai yang bersedia untuk menyerangnya kembali.
Apabila beliau menerima jawatan itu, beliau sedar akan cabaran yang menunggu adalah sangat besar dan bukan hanya menikmati segala faedah dan laba yang ada.
Beliau ditabal bersama api yang sedang marak di keliling beliau. Dan tengkolok yang beliau perolehi kini juga adalah hasil usaha banyak pihak.
Tengkolok yang beliau julang ibarat menyorong kepala kepada sendiri dan jika tidak bijak bertingkah, beliau akan dipancung oleh kawan dan lawan.
Bagi Hisham pula, beliau perlu memastikan tidak tersandung pada penampilan pertama di hadapan media dan masyarakat.
Kita telah lihat bagaimana kerana isu air suam, sehingga hari ini seorang menteri kabinet terus dikecam dan segala bicaranya diremehkan oleh masyarakat.
Begitu juga ada menteri kabinet yang kini direndam kariernya kerana kisah kereta terbang. Hisham perlu memastikan itu semua tidak menimpanya.
Akhirnya cabaran paling besar ialah kepada Zahid kerana beliau juga perlu menguruskan partinya yang masih lagi tunggang langgang.
Jangan jadi seperti ayam berkokok berdera-derai, diri sendiri bergelumang dengan najis.