Belang Bertempat

Apa jaminan Covid-19 dapat diurus dengan ada jawatan TPM

TIDAK perlu terkejut jika dikhabarkan di sini bahawa pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri sebenarnya telah dijangka.

Bagaimanapun, dalam keseronokan meraikan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pelantikan Pak Long Mail kita ini, sebagai ahli parti yang menjawat jawatan Naib Presiden, kata glokalis Tun Sri Lanang kepada SUARA MERDEKA hari ini, sebarang jawatan yang ditawarkan hendaklah dilihat dari pelbagai sudut

“Prinsip utama pelantikan ini bertujuan apa? Itu perlu dibangkitkan. Adakah ia untuk memecahbelahkan UMNO?
“Ataupun pelantikan ini diatur oleh tangan ghaib dari luar yang mahu melihat UMNO hancur,” kata Tun Sri Lanang.

Melainkan, pelantikan Ismail Sabri ini adalah untuk menstabilkan politik dan kuasa PPBM. Itu perlu diperhalusi, ujar Tun Sri Lanang.

Dalam perhimpunan perwakilan UMNO baru-baru ini, lebih 140 Bahagian membuat usul menolak sokongan terhadap PPBM dan usul ini dibawa ke Majlis Tertinggi UMNO (MKT) dan dibahas dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan sebulat suara, telah menolak menyokong PPBM.

Beberapa perwakilan yang berucap di PAU baru-baru ini, setelah dibuat keputusan, mereka menegaskan NO DAP, NO ANWAR, NO PPBM.

Apa juga keputusan yang dibuat selepas itu, mesti rujuk kepada MKT kerana MKT diberi mandat untuk membuat keputusan, tegas Tun Sri Lanang dalam melantunkan buah fikirannya ketika diajukan dengan soalan berhubung pelantikan Ismail Sabri sebagai TPM.

Prinsip dan dasar perwakilan ketika itu, menolak (NO)  dan sama ada Ismail Sabri terima atau tidak pelantikan sebagai TPM, bergantung kepada beliau.

“Dan jika beliau orang parti, beliau akan bawa pelantikan ini ke Mesyuarat MKT malam ini,” kata Tun Sri Lanang.

Jadi apa pun yang berlaku, jika ia melanggar mandat perwamkilan, ini bermakna ia telah melannggar etika parti.

“Langgar etika parti bererti boleh dihadapkan ke jawatankuasa disiplin atau MKT boleh buat keputusan langsung malam ini,” katanya.

Akar umbi UMNO, kata Tun Sri Lanang, memang kuat dan tidak akan ada tindakan membubar Cawangan atau Bahagian.

Oleh itu, Ismail Sabri selaku Naib Presiden UMNO, beliau dipilih oleh perwakilan, diberi kepercayaan kepada beliau dan beliau mesti menilai jawatan ini secara teliti dan mohon keredaan Allah SWT sama ada penerimaan ini memudaratkan parti atau tidak.

Jika alasan demi rakyat dan Covid-19, dengan tiada jawatan pun, keadaan tetap tidak terkawal. Apakah dengan ada jawatan ini, keadaan terkawal? Tiada jaminan Covid-19 diurus degan baik dengan jawatan ini.

Ini strategi politik. Fikir-fikirkanlah… – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button