EMPAT individu termasuk seorang penjawat awam yang bertugas di sebuah kementerian ditahan berhubung siasatan kes rasuah libatkan isu tender pembekalan bagi sebuah agensi penguat kuasa yang berjumlah RM42 juta.
Menurut sumber, suspek dipercayai meminta dan membayar rasuah sebanyak lima peratus dari nilai projek.
“Tender itu melibatkan perkhidmatan membekal, memproses, mencetak dan mengepos saman sebuah agensi penguat kuasa,” katanya.
Kesemua suspek yang berusia lingkungan 32 hingga 61 tahun itu telah direman selama enam hari bermula hari ini.
Permohonan reman tersebut dibenarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.
Difahamkan kesemua mereka ditahan kira-kira pukul 10 malam semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009. -SM