Negeri

Raja Muda Perlis titah majikan beri kelonggaran bekerja dari rumah sepenuhnya tempoh lockdown

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan harapan agar semua yang diberikan kelonggaran untuk Bekerja di Rumah (BDR) di negeri ini supaya janganlah menggunakan kesempatan ini untuk keluar dari rumah bagi tujuan yang tidak diperlukan.

Menurut baginda, penularan Covid-19 di negeri Perlis boleh dikawal jika semua rakyat terus mempraktikkan slogan ‘Pemerkasaan Kuarantin atau Self Lockdown’ dengan mempunyai disiplin yang tinggi dalam mematuhi apa jua nasihat dan peraturan yang dikeluarkan oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab khususnya dalam aspek kesihatan dan juga keselamatan.

Tegas Tuanku Syed Faizuddin Putra, ‘Setiap ketua keluarga hendaklah sentiasa tampil kehadapan bagi memantau status kesihatan diri dan ahli keluarga masing-masing dengan memastikan setiap di antara mereka sentiasa menjaga kebersihan diri dan persekitaran rumah serta segera mendapatkan rawatan jika bergejala’.

Demikian titah baginda merangkap Tuanku Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis menurut edaran media yang disiarkan oleh yayasan Diraja berkenaan selepas berkenan mengadakan perbincangan dengan pihak Jabatan Kesihatan Negeri secara atas talian bagi melaksanakan program ‘Titian Kasih Mega’ dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri pada suku ketiga tahun ini jika keadaan pandemik di negeri ini kelak kembali terkawal.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim pula mengulangi nasihat supaya rakyat negeri ini membatalkan atau sekurang-kurangnya menangguhkan sebarang pergerakan ke luar Perlis khususnya ke kawasan-kawasan berisiko tinggi buat ketika ini.

Tambah beliau, peningkatan mendadak kes Covid-19 berlaku di Perlis akibat kesan rentas negeri sebelum dan semasa hari raya Aidilfitri baru-baru ini. Sepanjang tempoh tersebut, ramai individu dari kawasan atau zon merah pada ketika itu pulang ke Perlis dan terdapat juga rakyat Perlis pulang ke kampung di luar Perlis. Individu-individu ini adalah antara penyumbang kepada kejadian kes-kes positif Covid-19 di negeri ini.

Untuk rekod, sehingga 28 Mei 2021, negeri Perlis mencatatkan sejumlah 8 kes dan merupakan hari ke enam negeri ini berada dalam zon merah. Ini menjadikan kumulatif kes sebanyak 473 kes dengan kes aktif adalah 85 kes, yakni kes aktif tempatan adalah 66 kes, kes aktif import adalah 19 kes dan tahanan 1 kes dengan 4 kematian.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button