Nasional

Ramli dakwa ada gerakan letak bukan Orang Asli sebagai KP JAKOA

AHLI Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor mendakwa terdapat gerakan dalam Kementerian Pembangunan Luar Bandar mencatur dan berusaha agar jawatan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) tidak disandang oleh Orang Asli.

Ramli yang juga berketurunan Orang Asli mendakwa, gerakan tersebut dilakukan oleh pengawai dalam Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Justeru beliau mengutuk langkah tersebut yang disifatkan sebagai ‘little Napolean’

“Telah sampai maklumat ke pengetahuan saya bahawa ada gerakan oleh para pegawai dalam Kementerian Pembangunan Luar Bandar sedang mencatur dan berusaha agar jawatan tersebut tidak disandang oleh rakyat Malaysia berketurunan Orang Asli Semenanjung.

“Saya sebagai wakil rakyat tunggal berketurunan Orang Asli Semenanjung Malaysia di Parlimen Malaysia yang dilantik oleh suara rakyat selepas 64 tahun Malaysia merdeka mengutuk dan menentang sama sekali usaha dan gerakan ‘little Napolean’ birokrasi kerajaan di dalam Kementerian Pembangunan Luar Bandar ini,” katanya.

Jawatan Ketua Pengarah JAKOA ketika ini kosong berikutan penyandangnya Prof. Dr Juli Edo yang merupakan keturunan Orang Asli Semenanjung Malaysia menamatkan kontraknya pada bulan April lalu.

Jawatan Ketua Pengarah JAKOA pada dasarnya akan diberi keutamaan untuk disandang oleh seorang rakyat Malaysia berketurunan Orang Asli Semenanjung Malaysia yang berkelayakan.

“Saya menyarankan mereka ini agar lebih menumpukan kepada tugas hakiki mereka sebagai pegawai kerajaan ia itu melaksanakan dan memantau semua dasar kerajaan agar sampai objektifnya bagi kesejahteraan masyarakat Orang Asli sebagaimana termaktub di dalam perkara 8(5)C Perlembagaan Persekutuan dan bukan bermain politik.

“Dengan ini juga saya mengambil kesempatan mengingatkan pepegawai kerajaan bahawa dengan jelas isi kandungan perkara 8(5)C Perlembagaan Persekutuan berkaitan kuota di dalam perkhidmatan awam Malaysia wajib diberi kepada masyarakat Orang Asli Malaysia yang berkelayakan termasuklah jawatan Ketua Pengarah JAKOA,” tegas beliau.

Serentak itu beliau menyarankan agar pihak pentadbiran negara bersikap adil dan saksama di dalam perlantikan jawatan Ketua Pengarah JAKOA.

Mereka juga diseru agar lebih perihatin terutama dalam menyelesaikan isu-isu pembangunan masyarakat Orang Asli yang didakwa masih tertunggak dan ketinggalan jauh daripada perlaksanaan.

“Isu-isu teras seperti pembangunan sosio ekonomi, pendidikan, kesihatan, pewartaan Tanah Orang Asli/Tanah Adat dan kebajikan am untuk masyarakat Orang Asli masih lagi ketinggalan jauh berbanding masyarakat majmuk Malaysia.

“Dengan ini, saya juga menyarankan supaya agensi perlaksanaan JAKOA diperkukuhkan dari segi penstrukturan organisasi agar penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa berlaku ketirisan dan pembaziran peruntukan kewangan rakyat,” katanya.-SM

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button