Ekonomi

Kerajaan pertimbang cadangan gaji minimum RM1,800 oleh Cuepacs

KERAJAAN akan mempertimbangkan cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang meminta agar gaji minimum penjawat awam ditetapkan RM1,800 sebulan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata tuntutan itu merupakan salah satu hak Cuepacs dalam menjamin sesuatu yang lebih baik kepada penjawat awam, bagaimanapun kerajaan juga turut mempunyai hak yang sama sebelum membuat keputusan.

“Kerajaan juga ada hak untuk pertimbangkan sesuatu yang munasabah dengan keperluan lonjakan ekonomi dalam negara kita. Kerajaan mempunyai pandangan ‘cermin besar’ yang perlu dilihat untuk masa hadapan masyarakat bukan hanya kepada golongan pekerja yang bermajikan dan semua itu harus diambil kira.

“Tuntutan Cuepacs itu menunjukkan sensitiviti mereka dalam membantu pekerja sama ada sektor awam atau swasta tetapi kerajaan sudah tentu ada pertimbangan dari sudut berkemampuan dan keupayaan kerajaan dan mengambil kira keupayaan majikan di peringkat swasta,” katanya kepada pemberita selepas Program Sumbangan Komuniti di Pokok Sena di Alor Star hari ini.

Katanya, sekiranya pihak majikan tidak berupaya untuk membayar gaji dan kerajaan memaksa serta meletakkan syarat, pihak majikan mungkin menutup operasi dan itu akan menyebabkan lebih ramai orang akan hilang pekerjaan.

Sementara itu, Mahfuz berkata kerajaan juga memutuskan kadar gaji minimum akan dinaikkan daripada RM1,100 kepada RM1,200 sebulan bermula awal tahun hadapan di kawasan bandar yang terpilih yang dilihat kos sara hidup pekerja lebih tinggi.

“Isu gaji minimum ini memang ramai tidak puas hati. Bermula RM980 naik kepada RM1,100 namun masih ada yang tidak berpuas hati tetapi dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) kita telah berjanji untuk naikkan sehingga RM1,500 namun proses itu secara berperingkat dalam tempoh masa lima tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan yang dibuat Presiden Cuepacs Adnan Mat, Khamis lalu yang meminta agar kerajaan menetapkan gaji minimum sebanyak RM1,800 sebulan untuk penjawat awam kerana kos hidup pada hari ini yang terus meningkat.

Adnan berkata keperluan gaji minimum baharu itu dibuat berdasarkan kepada beberapa aspek, antaranya keperluan rumah, nilai harga rumah mampu milik dan kadar potongan bulanan selain dapat mengurangkan masalah tekanan kos sara hidup di samping membentuk generasi yang lebih baik pada masa depan.– BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button