Politik

Anwar kecewa Finas tolak permohonan geran Afdlin Shauki

PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim kecewa dengan tindakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menolak permohonan geran artis Datuk  Afdlin Shauki untuk menerbitkan filem.

Anwar mendakwa penolakan permohonan Adflin yang merupakan ahli parti PKR sebagai bermotifkan politik.

“Penolakan permohonan geran saudara Afdlin Shauki oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) amatlah mendukacitakan.

“Penolakan ini bermotifkan politik dan alasan yang diberikan Finas bagi menafikan dakwaan tersebut amat cetek dan dangkal sama sekali,” katanya.

Afdlin yang merupakan penerbit dan pelawak sebelum ini memberitahu, permohonannya untuk mendapatkan geran bagi penerbitan filem bertajuk Angel of Sandakan telah ditolak oleh Finas.

Afdlin berkata, projek penerbitan filem tersebut adalah untuk memenuhi keinginan kerajaan untuk tercalon atau memenangai anugerah di Academy Awards atau Oscars.

Menurut beliau, projek tersebut sudah mendapat respon yang positif dari golongan kreatif dan profesional serta seorang pemenang Oscar.

Sementara itu Anwar menuntut supaya Finas mengkaji semula permohonan untuk mendapatkan geran tersebut.

“Meski orang yang bertanggungjawab mengemudi Finas saat ini adalah orang politik, saya yakin isu ini dapat dilihat dan diurus tanpa pengaruh dan kecenderungan politik.

“Saya tuntut permohonan oleh saudara Afdlin dilihat dan dikaji semula dalam rencana besar bagi menggerakkan semula industri perfileman tempatan,” katanya.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid sebelum ini telah menjelaskan, punca penolakan permohonan daripada pihak Afdlin termasuk syarikat produksi lain kerana tidak mengikut syarat ditetapkan.

“Antara punca penolakan cadangan adalah disebabkan ketidaksesuaian kertas cadangan seperti ditetapkan dan kegagalan dalam mempersembahkan jalan cerita semasa sesi ‘pitching’.

Pada 1 April lalu Anwar mengumumkan penyertaan Afdlin dalam PKR. Media melaporkan Afdlin sebagai berkata, PKR akan dijadikan platform untuk berkhidmat kepada masyarakat dan memuji perjuangan Anwar.

“Datuk Seri Anwar tidak pernah lelah dalam perjuangannya, begitu dedikasi dan komited untuk membela rakyat di sebalik kesengaraan yang beliau dan keluarga lalui. Nilai yang ada dalam diri Datuk Seri Anwar itu membuatkan saya tidak fikir panjang untuk menyertai PKR,” kata Afdlin.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button