Rentas negeri: Polis siasat Neelofa dan suami
POLIS sedang menjalankan siasatan terhadap selebriti, Neelofa dan suaminya yang juga pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd. Ismail susulan dakwaan berada di Nilai, Negeri Sembilan pada semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Fazley Ab. Rahman berkata, siasatan dijalankan memandangkan isu gambar dan video melibatkan Neelofa dan suaminya itu tular dan didapati telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergetakan Bersyarat (PKPB).
“Pihak yang terlibat akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai untuk memberi keterangan dalam masa terdekat dan kertas siasatan akan dirujuk ke kamar Timbalan Pendakwa Raya setelah selesai siasatan.
“Siasatan dijalankan di bawah undang-undang tersebut iaitu Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342, Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan Kawalan Pergerakan) dan Seksen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. -SM