Politik

Hamid Bador jamin Hannah dapat siasatan adil ketika difitnah

PERSARAAN Tan Sri Abdul Hamid Bador sebagai Ketua Polis Negara mengundang beberapa ahli politik tampil menceritakan pengalaman mereka bersama beliau.

Tidak terkecuali Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh yang tampil menceritakan bagaimana Abdul Hamid memberikan jaminan bahawa beliau akan mendapat siasatan adil berhubung poster fitnah melibatkan isu perkahwinan bawah umur.

Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, beliau terkejut selepas mendengar sidang akhbar Abdul Hamid mengenai fitnah tersebut yang melibatkan portal Muafakat Nasional.

“Semasa saya difitnah berdasarkan satu kenyataan/poster hasutan mengenai isu perkahwinan bawah umur tahun lalu, KPN memberi jaminan yang saya akan mendapat siasatan yang adil.

“Selepas siasatan dilakukan, saya terkejut mendengar sidang media KPN apabila beliau mengumumkan hasil siasatan mereka.

“KPN mendedahkan bahawa MuafakatNasional.net adalah dalang di sebalik kenyataan/poster “hasutan” tersebut. Saya berasa lega dan gembira kerana terbukti saya tidak bersalah,” kata Ahli Parlimen DAP itu di Facebooknya.

Menurutnya, tindakan Abdul Hamid itu memerlukan keberanian dan sikap tidak menyebelahi mana-mana pihak.

Bagaimanapun menurut Hannah selepas hasil siasatan dan pengumuman tersebut Pejabat Peguam Negara gagal mengambil tindakan selanjutnya terhadap dalang yang membuat fitnah berkenaan.

“Saya berharap Tan Sri Hamid Bador dapat bersara dengan tenang, namun seseorang yang mempunyai semangat cintakan keadilan tidak harus berhenti dengan hanya melakukan aktiviti rekreasi berkebun sahaja selepas ini.

“Saya berdoa agar beliau dapat terus menyumbang untuk membina semula Malaysia dengan cara yang lain pula.

“Malaysia memerlukan lebih banyak pemimpin seperti beliau yang mahu melakukan pembaharuan terhadap institusi. Terima kasih Tuan kerana mengembalikan kepercayaan saya terhadap pasukan polis,” kata Hannah.

Pada 11 Julai tahun lalu, Abdul Hamid ketika menjawat jawatan Ketua Polis Negara, mengumumkan polis sudah mengenal pasti dalang yang dipercayai membuat hantaran berbaur hasutan terhadap Hannah.

Abdul Hamid Bador berkata, siasatan polis mendapati hantaran berbaur fitnah berkenaan berpunca daripada poster dibuat oleh portal muafakatnasional.net.

Menurutnya, siasatan polis mendedahkan hantaran yang menjadi fakta isu dalam kes ini adalah daripada poster yang dibuat oleh muafakatnasional.net dan bukan daripada Twitter atau Facebook Hannah Yeoh.

Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut disiasat berhubung satu catatan sebelum ini di Facebook yang mempersoalkan status Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur di bawah Timbalan Menteri sekarang, Siti Zailah Mohd Yusoff.

Hannah bagaimanapun menafikan mengeluarkan kenyataan berkenaan.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button