Ada orang tuduh kami buat penggambaran hingga rosakkan hutan simpan
SELEPAS tular sebuah drama yang didakwa melakukan kerosakan di tapak bersejarah ketika melakukan penggambaran, sebuah lagi drama berjudul Anak Sena turut didakwa telah melakukan kerosakan hutan.
Namun, perkara itu dinafikan oleh penerbitnya, Jaja Ishak yang memberitahu lokasi pengambaran dilakukan di Taman Negara Pahang.
“Memang ada laporan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab yang memberitahu tanpa bukti bahawa produksi telah melakukan kerosakan hutan.
“Ikutkan memang saya terkejut dengan aduan yang diterima mengatakan kami melakukan kerosakkan sehingga ada pegawai daripada agensi kerajaan yang turun padang melihat lokasi tersebut.
“Saya tidak tahu apa niat dia membuat laporan tersebut, namun selepas dijelaskan dan melihat sendiri suasana penggambaran sehingga kini tiada lagi perkara berbangkit,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Jaja, sepanjang 12 hari berada di lokasi itu mereka bukan sahaja mengikuti garis panduan yang sudah ditetapkan tetapi juga turut dipantau secara berkala oleh agensi kerajaan yang terlibat.
Jelasnya, masyarakat Orang Asli juga turut berada di set penggambaran bersama-sama dengan mereka.
“Selain itu, saya turut memastikan kru yang terbabit juga faham akan situasi lokasi penggambaran, mereka juga turut diberikan penerangan hampir setiap hari.
“Untuk masuk ke lokasi berkenaan juga ada jalan khas yang perlu kami lalui dan tidak boleh sewenang-wenangnya membuat laluan sendiri dalam hutan,” katanya.
Tidak menolak kontroversi melibatkan sebuah produksi drama yang merosakkan lokasi penting sejarah sebelum ini mungkin menyumbang kepada dakwaan ini, jelasnya seharusnya individu berkenaan tidak terus membuat aduan secara melulu.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya cumanya bila berlaku keadaan seperti itu orang akan menunding jari kepada semua. Sebab itu saya sangat berhati-hati dalam soal ini,”katanya.
Sementara itu drama bersiri lapan episod lakonan Ben Amir ini mengisahkan tentang pengorbanan seorang guru dalam membimbing anak masyarakat Orang Asli.
Selain Ben Amir, pelakon lain yang turut terlibat ialah Ruzaidi Abd Rahman, Hadi Putra, Lan Siro, Shaha Abedul, Farah ahmad, Nadia Aqilla dan Azwan Ali. -SM