Hiburan

Setiap perkara ada hikmahnya, dulu lagi teruk saya kena – Neelofa

SELEBRITI dan usahawan, Neelofa mengakui dia tidak terkesan dengan kata-kata orang ramai dan sentiasa bergerak ke hadapan.

Menurut Neelofa, dia sentiasa bersikap positif dan baginya, setiap yang berlaku mempunyai pengajaran dan mematangkan dirinya.

“Dulu lagi teruk saya kena. Dari 2011 lagi macam-macam dah saya kena. Apa sahaja yang orang tak kata pada saya.

“Tetapi semakin kita ke hadapan, saya nampak benda lain dan diri saya pun dilihat dari sisi lain,” katanya yang juga mengakui setiap orang melakukan kesilapan.

Neelofa berkata demikian selepas majlis pelancaran program infaq sepanjang Ramadan oleh Pertubuhan Kasih Neelofa (PKN) di Hotel Majestic, Kuala Lumpur semalam.

Dalam pada itu, mengulas mengenai program Infaq, Neelofa berkata sebanyak tujuh program akan diadakan iaitu Program Infaq Iftar Ramadan, Infaq Food Box Ramadan, Infaq Kasih Ummah, Qurban 2021, Infaq Quran, Infaq Rehal dan Infaq Bantuan Yaman.

“Walaupun berusia dua tahun, PKN telah mendapat kerjasama dan sokongan daripada banyak pihak seperti Shopee dan Yayasan Pelajaran Mara.

“Melalui kerjasama ini, kita akan jalankan program Infaq Pendidikan untuk membantu nilai diri pelajar-pelajar khususnya dari kelompok miskin bandar,” katanya.

Dalam pada itu, Neelofa turut memberitahu yang segala video program infaq yang dirakam dan dipertontonkan bukanlah bertujuan untuk riak, sebaliknya sebagai hebahan kepada orang ramai.

Menerusi rakaman video juga, Neelofa berkata penyumbang boleh tahu ke mana wang dan bantuan mereka disalurkan supaya tidak timbul isu tidak percaya dan sebagainya.

Mereka yang berminat untuk menyertai program Infaq PKN boleh terus ke laman sesawang kasihneelofa.org. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button