Nasional

Godam sistem Imigresen: 6 ‘orang dalam’ ditahan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah menahan empat orang pekerja teknikal syarikat pembekal sistem yang berusia antara 35 tahun hingga 39 tahun kerana dipercayai bertanggungjawab memasang peranti dan perisian bagi tujuan menggodam Sistem MyIMMs Jabatan Imigresen Malaysia.

Menurut sumber, penahanan keempat-empat pekerja syarikat pembekal tersebut telah membawa kepada penemuan beberapa komputer di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang telah dilengkapi dengan peranti serta perisian penggodaman.

“Turut ditahan ialah dua orang kakitangan Imigresen kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket ini.

“Mereka yang berusia diantara 34 tahun hingga 42 tahun dikenalpasti terlibat dalam membantu sindiket menjalankan aktiviti penggodaman sistem tersebut.

“Dipercayai kesemua kakitangan tersebut turut menerima rasuah sebagai habuan kerana bersubahat dalam kegiatan ini,” katanya.

Ujar sumber, selain tangkapan, beberapa perkakasan IT dan komputer telah disita dari pejabat Imigresen.

“Turut disita ialah komputer riba dan External Hard Disk milik pekerja syarikat pembekal sistem yang digunakan bagi tujuan penggodaman sistem.

“Setakat ini pihak SPRM telah mengenalpasti empat hotel ternama sekitar Kuala Lumpur yang dijadikan pusat operasi penggodaman,” katanya.

Tangkapan terbaru ini adalah lanjutan dari operasi bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang telah dilaksanakan pada 6.4.2021 di 22 lokasi di Kuala Lumpur dan Sungai Petani, Kedah.

Terdahulu, lima (5) tangkapan telah dibuat terhadap ketua sindiket yang bergelar Datuk dan empat anggota sindiket termasuk seorang bekas pegawai JIM.

Sebanyak 147 akaun (30 individu & 11 syarikat) berjumlah RM9,977,954.95 juta telah dibekukan.

Selain itu, dianggarkan sebanyak 30 unit hartanah berjumlah RM11,868,835.00 dan 66 buah kenderaan berjumlah RM13,691,847.00 telah disita serta dibekukan yang mana jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM25,560,682.00.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki  ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbaru ini.

“Kami melihat isu penggodaman ini sebagai perbuatan yang amat serius kepada aspek keselamatan negara.

“Kesemua saspek akan disiasat dalam penglibatan mereka yg bersekongkol dalam menggodam sistem imigresen,” katanya.

Tambahnya, segala sudut undang-undang jenayah akan dilihat dalam penglibatan mereka ini. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button