Tun Faisal ajak Zahid Hamidi bersumpah nafikan rakaman audio tular
Bekas pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Tun Faisal Ismail Aziz mengajak Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk bersumpah atas nama Allah untuk menafikan rakaman audio tular.
Menurut Tun Faisal, tindakan itu bertujuan untuk menghentikan polemik dan perbuatan tuduh menuduh yang turut melibatkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya akan bersumpah atas nama Allah bahawa saya tidak terlibat mencipta audio Zahid-Anwar dan tidak terlibat dalam penyebarannya.
“Melainkan hanya berkongsi dengan beberapa group WhatsApp bagi membuktikan saya benar dalam isu sokongan Zahid kepada Anwar dan mereka yang menafikan sokongan ini salah.
“Saya juga akan bersumpah bahawa surat sokongan Zahid terhadap Anwar juga benar,” katanya.
Ujarnyanya lagi, dia juga ingin menjemput Zahid supaya bersumpah di atas nama Allah bahawa suara dalam audio itu bukan suara beliau dan surat sokongan terhadap Anwar itu juga tidak benar serta beliau tidak terlibat dengan pemberian sokongan tersebut.
Tambahnya, dia turut mengajak Zahid untuk melakukan majlis sumpah tersebut di Surau Ar Rahman di Pusat Dagangan Dunia Antarbangsa (PWTC).
“Saya akan menghubungi Datuk Sumali untuk aturkan majlis tersebut,” katanya.
Semalam, tular rakaman suara yang didakwa perbualan antara Zahid dan Anwar berkenaan pendirian Menteri dalam UMNO yang tidak berani untuk meletakkan jawatan.
Bagaimanapun Zahid pada semalam telah menafikan rakaman audio tersebut dan menganggap itu sebagai satu fitnah politik.
Anwar juga menafikan suaranya di dalam rakaman audio tersebut dan menganggap itu adalah taktik fitnah lama yang menunjukkan suasana gundah-gulana dalam kalangan pemimpin kerajaan ketika ini. -SM