Nabila Razali tak tertekan, cuma gugup di pentas AJL
INSIDEN terkucil yang dihadapi oleh Nabila Razali menjadi bahan bualan orang ramai baru-baru ini.
Ramai yang memberi sokongan terhadap Nabila tetapi pada masa sama, ramai juga yang mengecam penyanyi lagu Peluang Kedua itu.
Bercerita mengenai situasinya ketika di atas pentas Anugerah Juara Lagu ke 35 (AJL35), Nabila mengakui yang tekanan bukan menjadi punca dia terkucil.
“Saya tidak tertekan pun ketika itu. Cuma saya ada perasaan gugup untuk membuat persembahan.
“Lagipun ketika itu sudah lama tiada persembahan pentas ekoran pandemik Covid-19, jadi ibaratnya tiada tempat untuk berlatih.
“Saya perlu terus membuat persembahan di atas pentas besar sedangkan saya ini penyanyi yang kecil sahaja.
“Bukannya seorang yang begitu hebat dalam vokal. Sebab itu saya perlukan masa dan latihan untuk membuat persembahan apatah lagi di pentas AJL.
“Tetapi, walaupun gugup dan tidak cukup persediaan serta tohamahan yang saya terima sebelum itu, saya tetap galas juga tanggungjawab.
“Cuma pada malam itu, saya akui itu bukanlah malam yang terbaik,” katanya.
Nabila berkata demikian ketika ditemui sewaktu pelancaran kek lapis Big Mouth x Nabila Razali yang berlangsung pada malam tadi.
Dalam pada itu, Nabila mengakui dia tidak berputus asa dan untuk terus berada dalam industri seni.
“Apa yang berlaku sebenarnya memberi saya semangat untuk membuat persembahan yang lebih baik di masa hadapan.
“Lagipun kesilapan yang berlaku itu memang saya tidak jangkakan.
“Alhamdulillah, keluarga beri sokongan dan mereka juga beritahu, kalau nak terus dalam indusri seni, memang kena kuatkan diri,” katanya.
Tambah Nabila, semangatnya kini adalah keyakinan ibu bapanya dan minatnya yang mendalam dalam dunia seni. -SM