Ekonomi

Nur Azreen Resources berkembang dalam dunia perniagaan

MENCEBURI bidang perniagaan bukanlah satu perkara yang dirancang sejak dari awal kerana sebaik-baik perancang ialah Tuhan. Begitulah gambaran yang dapat dikaitkan dengan Nur Azreen Arifin, 33, yang berkongsi pengalaman sebagai seorang usahawanita ketika tampil sebagai tetamu Live Suara Merdeka tengah hari tadi.

Menggalas tugas dan tanggungjawab sebagai Pengurus Besar Nur Azreen Network Resources, Nur Azreen atau lebih mesra dipanggil Erin mengakui, bukanlah sesuatu yang boleh dibawa bercanda apabila mengendalikan syarikat dan perniagaan sendirikerana beliau perlu berusaha dan gigih dalam menjalankan setiap perniagaan.

“Saya masih baharu dalam dunia perniagaan, kalau diikutkan baru tiga tahun. Sebelum ini, saya ialah seorang wartawan dan apabila saya memilih untuk meninggalkan ‘dunia makan gaji’, saya perlu gigih dan meneruskan usaha untuk memajukan perniagaan,” katanya.

Walaupun  tidak mahu mengimbas kembali langkah pertama Erin berniaga seperti bangun seawall pukul 4 pagi dan ditemani oleh anak tunggalnya, Khiyar, 5, menghantar roti ke cawangan pusat servis kenderaan dan stesyen petrol di Lembah Klang dan Shah Alam, Selangor, anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini tetap cekal untuk berniaga.

Katanya, daripada seorang penghantar roti, Erin mengedar kerepek jenama namanya sendiri dan mempunyai beberapa orang stokis di bawahnya.

Pada ketika perniagaan kerepeknya berjalan lancar, stokisnya ‘dicuri’ dan beliau terpaksa berlapang dada dan memberi masa kepada dirinya untuk bangkit semula.

“Dua tiga hari saya ambil masa untuk menjalani tempoh bertenang. Kalau difikirkan stokis saya dicuri, memanglah ia satu perasaan yang menyakitkan.

“Selepas tempoh bertenang, saya bangkit dan jalan terus. Sememangnya Allah itu maha kaya, dikurnaikanNYA rezeki kepada saya.

“Tahun lepas, dalam kita semua berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana orang ramai takut untuk ke pasar basah, saya menjalankan perniagaan perkhidmatan penghantaran iaitu daging segar ke rumah-rumah di Shah Alam.

“Saya ada penghantar atau runner untuk menghantar pesanan dan Alhamdulillah, perniagaan itu memberangsangkan,” ujar beliau.

Kecekalan Erin untuk bergelar usahawanita, telah dipupuk oleh ibunya yang merupakan seorang ibu tunggal.

Kata Erin, ibunya juga seorang peniaga dan hasil titik peluh sebagai seorang peniaga, Erin dan adik-adiknya dibesarkan oleh ibu mereka.

“Saya melihat ibu berniaga dan saya dididik untuk berniaga oleh ibu saya. Jadi, tiada yang pelik jika saya beralih bidang dan menceburi dunia perniagaan.

“Hari ini, saya dikurniakan rezeki apabila syarikat saya diberikan kontrak untuk membuat perkhidmatan  pembersihan di pasar raya atau cleaning services.

“Biarpun saya kurang pengalaman namun pengalaman itu boleh dikutip asalkan ada ilmu dan ilmu perniagaan saya pelajari ketika saya membuat tugasan di lapangan semasa saya bergelar wartawan,” katanya. – SM

(Visited 575 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button