Siapa kata nasihat perintah darurat tidak boleh dicabar?
Peguam, Haniff Khatri Abdulla menjelaskan apa yang dilakukan oleh Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bukan mempertikaikan perintah darurat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Sebaliknya ia adalah mengemukakan cabaran undang-undang di mahkamah berhubung nasihat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat yang dikuatkuasakan ketika ini.
Menurut salinan Saman Pemula, Khairuddin antara lain meminta mahkamah memutuskan apakah nasihat Muhyiddin tidak sah kerana dia didakwa kehilangan sokongan majoriti anggota parlimen di Parlimen.
Katanya, cabaran mahkamah perlu difahami oleh seluruh rakyat bukan mencabar keputusan Yang di-Pertuan Agong.
Proklamasi Darurat Kesihatan Covid-19 yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 12 Januari lalu dan berkuat kuasa pada 11 Januari hingga 1 Ogos, atau mana-mana tarikh atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong.
Ia tidak dicabar, malah adalah dihormati dan dipatuhi kerana menurut budi bicara mutlah Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan mana-mana proklamasi darurat, tanpa keperluan mana-mana nasihat perdana menteri atau jemaah menteri.
Apa yang dicabar dalam tindakan saman pemula ialah berhubung nasihat Muhyiddin yang sudah hilang majoriti kerana pada 11 Januari Datuk Ahmad Jazlan Yaakob iaitu Ahli Parlimen Machang telah menarik sokong beliau kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
Sehubungan itu Haniff menekankan semua pihak perlu faham betul dan tepat serta tidak menyelewengkan fakta seolah-olah Khairuddin mencabar budi bicara Yang di-Pertuan Agong.
Sementara itu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah bagi memohon darurat ditarik balik, selewat-lewatnya esok.
Malaysiakini melaporkan Timbalan presiden penajanya Marzuki Yahya berkata surat itu akan mewakili permintaan kesemua empat orang anggota parlimen Pejuang.
“Kita dah siapkan surat. Mungkin akan hantar hari ini atau selewat-lewatnya esok,” kata Marzuki.
Setakat ini tiada pemimpin UMNO yang mengemukakan saman atau surat kepada Yang di-Pertuan Agong memohon perisytiharan darurat ditarik balik.