V-Shem-Wee Kiong naib juara Terbuka Thailand
Kejayaan mara ke final cerahkan peluang layak ke Sukan Olimpik Tokyo
WALAUPUN kecundang dalam perlawanan akhir, persembahan yang dipamerkan beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong sewaktu menentang pilihan keenam, Lee Yang-Wang Chi Lin tidak menghampakan pada kejohanan badminton Terbuka Thailand di Bangkok, hari ini.
Pasangan No. 14 dunia itu tewas kepada beregu Taiwan tersebut 16-21, 23-21, 19-21 dalam permainan yang berlanjutan selama lebih sejam.
Corak permainan menyerang yang dipamerkan lawan, berjaya ditangani dengan baik V Shem dan Wee Kiong apabila tidak membuka banyak ruang kepada gandingan Taiwan itu khususnya Chi Lin untuk kerap menyempurnakan pukulan smash ke dalam gelanggang mereka.
Taktikal yang baik dan tidak mudah menyerah kalah menjadi faktor utama kepada kejayaan bekas beregu No. 1 dunia itu mengheret Lee Yang-Chi Lin bermain dalam set penentuan apabila gandingan veteran itu meraih kemenangan 23-21 pada set kedua.
Bagaimanapun, tuah tidak menyebelahi mereka apabila terpaksa akur dengan ketangkasan pasangan No. 7 dunia itu apabila tumpas 19-21 dalam set penentuan dan sekali gus, terpaksa berpuas hati muncul selaku naib juara pada Jelajah Dunia Super 1000 tersebut.
Kejayaan melangkah sehingga ke final turut menghidupkan peluang untuk V Shem-Wee Kiong menempah tiket ke Sukan Olimpik yang akan berlangsung di Tokyo, Jepun, Julai ini.
Wee Kiong yang dipetik kenyataannya menerusi laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berkata, mereka mempunyai banyak peluang, tetapi berdepan kesukaran menentang beregu Taiwan itu sepanjang permainan.
“Mereka bermain dengan sangat pantas pada awal permainan, tetapi kami berjaya mengejar mereka dan meraih kemenangan dalam set kedua.
“Kami cuba bermain dalam kadar kelajuan yang tinggi dan mengikut rentak mereka.
“Kami tidak banyak bermain dalam rali yang panjang, cuma mereka beraksi dengan lebih konsisten,” kata Wee Kiong yang mara ke final dalam Jelajah Dunia Super 1000 bersama V Shem buat kali pertama dalam tempoh empat tahun.
Muncul sebagai naib juara membolehkan V Shem-Wee Kiong membawa pulang hadiah wang tunai bernilai AS$35,000 (RM141,187) berserta medal, manakala juara, Lee Yang-Chi Lin memenangi AS$74,000 (RM298,509) dan juga pingat emas.
Sementara itu, dalam aksi akhir beregu campuran dimenangi pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai yang menewaskan beregu Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti 21-13, 20-22, 21-18.
Untuk final beregu wanita pula, kejuaraan menjadi milik pilihan kelima, Greysia Polii-Apriyani Rahayu dari Indonesia yang menundukkan pasangan tuan rumah, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 21-15, 21-12.
Dalam saingan akhir perseorangan wanita, juara dunia tiga kali yang turun selaku pilihan kelima, Carolina Marin dari Sepanyol mengalahkan pilihan utama kejohanan, Tai Tzu Ying dari Taiwan 21-9, 21-16.
Pilihan keempat dari Denmark, Viktor Axelsen muncul juara perseorangan lelaki setelah menumpaskan pilihan ketujuh, Angus Ng Ka Long dari Hong Kong 21-14, 21-14. – SM