Belang Bertempat

UMNO bengang, pembangkang lantang, Azmin menyelinap di belakang

SELEPAS gagal menumbangkan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin, para pemimpin UMNO terus senyap dan lebih berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan.

UMNO yang menyokong Istana selama ini, mengelak daripada mengkritik keputusan Yang di-Pertuan Agong membenarkan darurat diisytiharkan bagi menangani pandemik Covid-19.

Seorang sahaja pemimpin UMNO yang lantang pada masa ini ialah Tan Sri Annuar Musa yang seolah-olah mendapat kekuatan luar biasa bagi menyindir pimpinan partinya, selaku menteri Kabinet dan individu yang rapat dengan Muhyiddin.

Sebagaimana pemerhati politik berkata UMNO sebenarnya menembak kaki dan menggali kubur sendiri apabila memberi masa sehingga sebulan untuk meruntuhkan kerajaan dianggotainya dalam penuh ranjau duri bersama Bersatu dan Pas.

Keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO membiarkan perhimpunan agung parti itu berlangsung pada hujung bulan ini memutuskannya telah membuka ruang kepada Muhyiddin untuk bergerak.

Perisytiharan darurat telah membuatkan para panglima perang UMNO putus asa dan bingung untuk bergerak.

Kini UMNO bukan sahaja diikat kedua-dua tangan, bahkan kaki mereka juga dibelenggu dengan kes-kes mahkamah membabitkan para pemimpin utama mereka akan diteruskan sepanjang tempoh darurat dan lebih buruk akaun parti masih dibekukan.

Jika para pemimpin terbabit didapati bersalah dan dipenjara,  UMNO perlu bangkit dengan wajah baharu. Mungkin juga kebangkitan baharu ini turut memberi kekuatan baharu kepada parti itu.

Mungkin juga cakap-cakap bahawa UMNO dan Bersatu akan kembali bertaut akan berlaku pada masa ini, kerana penentangan akan semakin reda apabila UMNO semakin lemah.

UMNO memerlukan pemain utama baharu yang jelas arah tujunya dan tidak bersimpang-siur hingga mengelirukan ahli keseluruhannya.

Pada masa yang sama Pakatan Harapan (PH) yang menjadi pembangkang kini mendapat peluru dan semangat baharu dengan isu terkini.

Walaupun tidak menentang perisytiharan darurat tetapi mereka lantang menyatakan ia lebih bersifat untuk menyelamatkan kerajaan Muhyiddin daripada mahu menangani masalah ekonomi negara dan pandemik Covid-19.

Bagi mereka undang-undang yang sedia ada sudah cukup jika digunakan dengan tegas bagi mengatasi penularan wabak.

Muhyiddin juga perlu meletakkan jawatan kerana kerajaan yang beliau pimpin kini telah kehilangan majoriti dan tidak absah.

Pembentukan kerajaan baharu melalui pilihan raya akan menyelesaikan masalah tersebut dan mengelakkan sebarang bentuk ‘kejutan serangan jantung’ kepada kerajaan dan sekaligus menjejaskan ekonomi dan keyakinan pelabur asing di negara ini.

Paling tidak sekalipun perdana menteri interim harus dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong bagi mentadbir negara ini dengan sah.

Penggantungan Parlimen dilihat sebagai tindakan mematikan demokrasi di negara ini.

Kini masa hadapan negara terletak kepada jawatankuasa penilai pelaksanaan darurat yang baru mahu dibentuk.

Jika tiada kewajaran darurat diteruskan, ia disyorkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun melihatkan kepada keputusan hanya tiga wakil dari pembangkang dibawa masuk ke dalam jawatankuasa itu, ia tidak akan berlaku.

Oleh itu UMNO boleh melupakan bahawa sesuatu yang luar biasa akan berlaku, sebaliknya mereka perlu bersedia untuk menghadapi pilihan raya yang bakal diadakan selepas darurat untuk kira-kira lapan bulan lagi.

UMNO tidak boleh lari dari para pengundi berusia 18 tahun ke atas yang akan mengundi secara automatik. UMNO juga terpaksa menerima hakikat sebahagian besar pemimpin mereka tidak akan dapat bertanding setelah didapati bersalah di mahkamah.

UMNO perlu mempersiapkan muka baharu untuk berdepan dengan cabaran yang mereka tidak duga.

Pada masa sama para pemimpin UMNO belajarlah bekerjasama dengan kerajaan Muhyiddin bagi menyelesaikan dua isu utama iaitu pandemik Covid-19 dan masalah ekonomi negara.

Mudah-mudahan dengan langkah sedemikian mereka tidak disumpah oleh rakyat yang telah letih melihat kerenah para pemimpin UMNO.

Kegagalan UMNO kerana mereka gagal melihat siapakah pemain politik yang harus diawasi. Tumpuan terlalu diberikan kepada Muhyiddin dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Mereka juga terlalu yakin dengan kekuatan Bossku iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempunyai 4.3 juta pengikut di Facebook.

Empat juga atau 10 juta pengikut di media sosial tidak akan dapat mempengaruhi walaupun seorang ahli parlimen mengubah sokongan, ia hanya membantu dalam permainan persepsi semata-mata.

Pemain politik yang dipandang rendah dan tidak diberi perhatian sebenarnya ialah Datuk Seri Azmin Ali. Beliau mungkin tidak popular di media sosial, tetapi beliau ialah seorang ahli politik yang sentiasa melakukan pelbagai gerakan.

Melalui gerakan demi gerakan termasuk Langkah Sheraton dan terlebih awal Langkah Kajang adalah memastikan karier politik beliau.

Azmin ibarat dedalu yang memerlu pohon untuk bertenggek bagi meneruskan survival. Azmin tidak mempunyai parti dan akar umbi.

Beliau akan terus bergerak untuk memastikan dia terus hidup. Dia akan mati jika langkahnya terhenti.

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button