Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah mengambil satu inisiatif dengan mewujudkan lagu khas bertajuk “Ratuku” yang dinyanyikan oleh Khai Bahar seorang anak seni kelahiran Negeri Perlis berasal dari Padang Katong yang telah menempa nama dipersada hiburan tanahair wajar dibanggakan.
Adalah diharapkan medium lagu berkenaan dapat membantu memainkan peranan yang signifikan dalam memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menyumbang khususnya melalui ibadah wakaf kepada MAIPs sebagai ‘sole trustee’ dalam merealisasikan projek Bangunan Wakaf MAIPs-Perkhidmatan Dialisis Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar Perlis. Usaha ini dilihat semakin baik dengan mewujudkan sebuah video muzik khas bertemakan projek wakaf tersebut yang bakal dipaparkan melalui sebaran media baharu, media elektronik dan media cetak.
InsyaAllah, langkah yang telah digerakkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Wakaf MAIPs dengan pelbagai perancangan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap potensi dan kepentingan berwakaf dapat disampaikan kepada segenap lapisan masyarakat, merentasi sempadan agama dan bangsa.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat melancarkan Lagu dan Video Muzik “Ratuku” oleh Khai Bahar untuk Promosi Dana Wakaf Bangunan Wakaf MAIPs-Perkhidmatan Dialisis Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar Perlis yang diadakan di Hotel Intercontinental Kuala Lumpur pada malam semalam.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.
Baginda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seorang lagi anak kelahiran Negeri Perlis dari Arau iaitu Dr. Mohd Azrul Azlen bin Abd Hamid yang juga merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa Pengurusan Wakaf MAIPs yang sudi menyumbangkan kepakaran dalam menggubah lirik dan melodi indah lagu Ratuku untuk tatapan semua.
Untuk rekod, buat masa ini MAIPs telah berjaya mengumpulkan dana wakaf tunai khas bagi projek Pusat Dialisis berkenaan sebanyak RM2 juta daripada jumlah kos keseluruhan projek yang diperlukan berjumlah RM6 juta. Jumlah ini masih lagi jauh dan masih memerlukan sumbangan daripada seluruh masyarakat, warga korporat dan pihak-pihak yang berhasrat untuk menyumbang dalam menjayakan pembinaan ikon wakaf kebanggaan semua. Adalah diharapkan penerbitan lagu dan video muzik ini dapat menjadi pemangkin ke arah menjayakan kutipan dana wakaf tersebut sekaligus meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap usaha yang baik secara langsung dapat membantu mereka yang memerlukan.
https://www.youtube.com/watch?v=jACpyD11MJI