BeritaPolitik

Parti pembangkang berhadapan kemungkinan dibubarkan

BANGKOK – Parti pembangkang Thailand Future Forward Party (FFP) berhadapan dengan kemungkinan dibubarkan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya Thai (EC) hari ini memutuskan bahawa pemimpin parti itu melanggar undang-undang pilihan raya dengan membekalkan pinjaman kepada parti pimpinannya.

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan ringkas berkata, tindakan pemimpin parti FFP Thanathorn Juangroongruangkit itu menyalahi Seksyen 72 Organic Law on Political Parties, dengan memberikan pinjaman berjumlah 191 juta baht.

Menurut kenyataan itu, pihak suruhanjaya menganggap penjaman itu sebagai sumbangan derma, yang dihadkan kepada 10 juta baht.

“EC melihat parti berkenaan (FFP) mengambil pinjaman 191 juta baht daripada Thanathorn dan ia menyalahi undang-undang pilihan raya.

“Majoriti (anggota EC) bersetuju untuk menghantar satu petisyen kepada Mahkamah Perlembagaan untuk menimbang agar membubarkan parti itu mengikut seksyen Section 92 (3) dan Seksyen 93 Organic Law,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, EC mengadakan mesyuarat bagi memutuskan soal legitimasi pinjaman yang diberikan Thanathorn kepada parti itu.

Satu inkuiri telah dilancarkan selepas aktivis Srisuwan Janya meminta EC menyiasat Thanathorn, yang juga pengasas bersama FFP kerana memberikan pinjaman 191 juta baht kepada parti itu dengan tempoh pembayaran balik pinjaman selama tiga tahun.

Bulan lepas Thanathorn, 40, dilucutkan daripada kesusukan sebagai Anggota parlimen selepas mahkamah mendapati beliau bersalah kerana melanggar undang-undang pilihan raya.

Tokoh pembangkang itu didapati bersalah kerana melanggar Seksyen 98(3) Perlembagaan dengan memegang saham dalam V-Luck Media Company, semasa menjadi calon dalam pilihan raya umum Thailand pada 24 Mac.

Susulan pilihan raya umum, FFP menjadi parti ketiga terbesar di negara itu dan menjadi sebahagian daripada blok pembangkang.

Ketika ini FFP memiliki 79 ahli parlimen, dan sekiranya ia dibubarkan, semua ahli parlimen berkenaan dikehendaki mencari saru parti politik baharu dalam tempoh 60 hari.

– BERNAMA

(Visited 80 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button