Nasional

Tak sempat merasa wang RM15,000 dah kena tangkap

TAK sempat nak bergembira dengan wang samun berjumlah RM15,000, dah kena tangkap ketika melarikan diri.

Itu nasib yang menimpa seorang lelaki warga India yang cuba menyamun seorang lelaki di Jalan Metro Perdana Barat 2, Sentul pada 15 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.15 pagi ketika mangsa membawang wang tunai milik syarikatnya.

“Suspek yang berusia 34 tahun telah menahan mangsa dan mengacukan parang sepanjang 40 sentimeter ke arah leher mangsa.

“Suspek kemudian telah mendapat wang berkenaan sebelum cuba melarikan diri bersama rakannya yang sedang menunggu di atas motosikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Eng Lai, percubaan suspek untuk melarikan diri bersama wang tunai tidak berjaya kerana ditahan oleh mangsa dengan bantuan pengawal keselamatan peribadi.

Jelasnya, rakan suspek bagaimanapun telah melarikan diri.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan akibat insiden manakala suspek pula ditahan untuk siasatan lanjut.

“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan direman seminggu sehingga esok,” katanya.

Ujarnya, suspek akan dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, usaha untuk mengesan tiga lagi rakan suspek juga sedang giat dijalankan. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button