Hiburan

Diangkat jadi Ikon Pengarah Muda, Syahmi Sazli nafi salah guna OKU

SUDAH lama sebenarnya pengarah muda, Syahmi Sazli didakwa menggunakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Tetapi, dakwaan tersebut boleh dianggap tidak berasas kerana sehingga kini, Syahmi masih setia bersama dengan individu OKU di saluran YouTube miliknya.

Malah, Syahmi juga dilaporkan akan membikin satu lagi filem pada bulan hadapan dengan menggunakan pelakon yang sama.

“Kejayaan Mael Totey akan menjadi perangsang kepada saya untuk menghasilkan karya yang lebih baik dan akan menggunakan pelakon yang sama untuk filem berlatarbelakangkan kehidupan rakyat Kelantan.

“Kalau saya menggunakan mereka (eksploitasi), sudah lama mereka tidak bersama saya,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama.

Sementara itu, pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Zakaria Abdul Hamid berkata, pengumuman secara rasmi akan dibuat pada satu majlis apresiasi bagi menghargai mereka yang berjaya dalam bidang perfileman negara awal tahun depan.

“Pengarah muda ini akan diangkat namanya sebagai ikon selepas berjaya menghasilkan filem dengan kutipan yang tinggi dan ini satu pengiktirafan kepada anak-anak muda.

“Dia (Muhammmad Syahmi) bukan sahaja berjaya dalam usahanya tetapi juga telah mengangkat golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam filemnya,” katanya.

Beliau berkata pengarah muda itu telah membuktikan kejayaannya tanpa meminta bantuan pihak lain termasuk FINAS.

Zakaria berkata pengarah muda yang lain perlu menghasilkan karya yang dikehendaki golongan muda yang tidak lagi tertumpu kepada kisah yang stereotaip sebaliknya bagaimana dapat membina bangsa dan negara melalui filem.

“Kita tidak mahu berterusan kisah cinta seperti orang kaya berkahwin dengan orang miskin tetapi mesti mempunyai idea bagaimana dapat memberi semangat kepada golongan muda dalam membina negara,” katanya. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button