Politik

Saman 10 penduduk Gombak akan uji hak pengundi

Peguam Haniff Khatri berkata, tindakan 10 orang penduduk Gombak menyaman Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali kerana melompat parti akan menjadi ujian kepada Perlembagaan Persekutuan.

Kata beliau, sejak dari peristiwa yang digelar “Sheraton Move” pada 23.02.2020 sehingga membawa kepada perubahan Kerajaan Persekutuan pada 01.03.2020, tidak pernah lekang di medan perbahasan sesama para analisis perundangan mahupun politik, mahupun di Parlimen, apatah lagi di kalangan Rakyat biasa samada di warung kopi ataupun di alam maya berhubung keabsahan Kerajaan Persekutuan kini, yang turut mempersoalkan integriti Wakil Rakyat terbabit yang dikatakan telah mencabuli mandat Rakyat selepas PRU-14.

“Pada masa yang sama kegagalan dalam gubalan mana-mana akta mahupun pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan yang boleh mengharamkan tindakan “lompat parti” yang dapat membendung pencabulan mandat Rakyat yang diberi semasa Pilihan Raya, juga turut menjadi subjek hangat yang sentiasa diperbincangkan,” katanya.

Seramai 10 pengundi berdaftar dalam kawasan Parlimen Gombak memfailkan saman terhadap Ahli Parlimen mereka Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari melalui ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang, Februari lalu.

Dalam penyataan tuntutan, kesemua plaintif, berumur antara 36 hingga 64 tahun, memohon perisytiharan antaranya Mohamed Azmin adalah pemegang amanah dan mempunyai tanggungjawab selaku Ahli Parlimen Gombak terhadap kawasan parlimennya termasuk 10 plaintif itu.

Mereka juga memohon perisytiharan bahawa Mohamed Azmin telah melanggar kewajipan fidusiari, menipu selain memungkiri representasi yang dibuat terhadap kesemua plaintif dalam pilihan raya kawasan berkenaan.

Menurut kesemua plaintif, representasi yang dibuat Mohamed Azmin itu adalah dengan menawarkan diri untuk bertanding pilihan raya 2018 untuk menyingkirkan kerajaan pada ketika itu, iaitu Barisan Nasional (BN), dan pegawai awam yang korup.

Dakwa kesemua plaintif, Mohamed Azmin hanya mengetahui bahawa representasi yang diberikannya itu adalah palsu dan beliau hanya mahu mendapatkan undi serta tidak berusaha untuk memenuhi representasi berkenaan.

Kesemua plaintif mendakwa mereka telah bergantung kepada representasi tersebut dan mengundi defendan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.”

Haniff berkata, dari sudut sistem kehakiman dan perundangan isu tindakan mahkamah di atas ketiadaan mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan ataupun Akta Parlimen yang menghalang hak Wakil Rakyat untuk “lompat parti” tanpa pengosongan kerusi parlimen itu, ia akan menjadi satu isu penting dan relevan untuk diadili dan dihakimi sebelum diadakan PRU-15.

“Sememangnya, ia juga menjadi satu batu loncatan untuk para pengundi membuktikan kepada wakil rakyat yang tidak berprinsip dan tidak berintegriti politik bahawa rakyat tahu hak perundangan mereka dan tidak akan berdiam diri untuk para politikus mempermainkan hak pengundi dan hak rakyat,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button