Satu nyawa Yahudi sama dengan 40 jiwa Palestin!
SEJAK 20 tahun lalu, bagi setiap nyawa penduduk Yahudi melayang, Israel akan membunuh 40 penduduk Palestin di Gaza. Keganasannya ke atas kawasan seluas 365 kilometer persegi dengan populasi penduduk berjumlah 2 juta orang dilakukan secara terang-terangan.
Satu dunia menyaksikan bagaimana prinsip kebebasan hak asasi manusia yang kononnya menjadi teras Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) lebih 70 tahun lalu yang membawa kepada penubuhan negara Zionis di rantau Asia Barat tidak digunapakai ke atas penduduk asal kawasan berkenaan iaitu bangsa Arab Palestin.
Sejak kawasan berkenaan dikuasai Hamas pada 2007, Israel telah mengambil langkah lebih tegas dengan mengenakan sekatan menyebabkan segala aktivirti ekonominya musnah.
Selepas 13 tahun, separuh daripada penduduknya hidup di bawah paras kemiskinan. Sehingga Oktober 2020, kadar pengangguran meningkat kepada 49.1 peratus.
Bayangkan, bagi mana-mana petani Palestin yang mengusahakan tanaman di kawasan berhampiran sempadan mereka dilarang menggunakan sebarang jentera. Jika ingkar akan ditembak. Begitu juga dengan nelayan, mereka hanya dibenarkan memukat di kawasan pinggir pantai.
Dalam bahasa mudah, penduduk Gaza dipenjara kerana mereka langsung tiada hak sama ada dari darat, udara dan laut. Semuanya dikawal Israel.
Bagi kelangsungan hidup, rakyat Palestin terpaksa menjadi pengemis kepada pendatang yang telah merampas tanah air mereka. Lebih tidak bertimbang rasa, Mesir yang turut berkongsi sempadan dengan wilayah itu turut bersekongkol dengan Zionis dengan mengetatkan kawalan pintu sempadan Rafah.
Dalam laporan yang dikumpul PBB mengenai Perdagangan dan Pembangunan, ia menjadi bukti terhadap kekejaman Israel.
Sepanjang tempoh 24 tahun iaitu antara 1994 hingga 2018, kadar pertumbuhan per kapita Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Gaza telah jatuh 37 peratus menjadikan pertumbuhannya tidak mampu menampung pertambahan penduduk.
Ketika mana penduduk Palestin berterusan dibunuh, dihina dan dinafikan hak sebagai manusia, pemerintah Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang kaya raya, tidak lagi mempedulikan itu semua.
Meskipun sebangsa, negara Teluk itu kini ghairah untuk meraikan kedatangan pelancong Israel selepas secara rasmi ia menjalin hubungan diplomatik dengan rejim Zionis pada September lepas. Ia menjadi dua sisi cerita berbeza.
Satu negara yang sedekad dulu yang tidak diiktiraf dan dianggap musuh bersama dunia Arab serta Islam kini ditatang UAE.
Selepas Dubai, kita tunggu apa tindak tanduk negara Arab yang lain, sejauh mana mereka setia dalam membela nasib penduduk Palestin untuk mempunyai tanah air sendiri yang bebas dan berdaulat. – SM