Kerajaan Negeri Kedah ucap takziah anggota PGA terkorban
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor mengucapkan takziah atas terkorbannya anggota Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia, Mendiang Koperal Baharuddin Ramli dalam insiden pertempuran dengan penjenayah di sempadan Malaysia – Thailand di Padang Besar, Perlis, kelmarin.
“Kita juga mendoakan supaya seorang lagi anggota PDRM, Koperal Norihan Tari yang dilaporkan cedera parah dalam insiden itu, segera sembuh dan dapat terus berkhidmat mempertahankan kesejahteraan dan kedaulatan tanah air kita.
“Meskipun berdukacita, semangat pengorbanan yang begitu tinggi ditunjukkan oleh mereka, juga anggota pasukan keselamatan lain yang sentiasa gigih lagi berani berjuang untuk negara, amat disanjung,” katanya dalam kenyataan.
Beliau juga mendoakan semoga apa yang telah ditunjukkan menjadi teladan dan lebih membakar semangat semua anggota pasukan keselamatan untuk terus mempertahankan setiap inci tanah air kita daripada ancaman penjenayah dan pengancam keselamatan negara.
“Tidak terkecuali, ini juga adalah tanggungjawab kita semua, rakyat Malaysia,” kata beliau.