Nasional

Kawalan ketat asrama pekerja Top Glove bermula

POLIS Daerah Klang Utara tidak membenarkan pekerja syarikat pembuatan sarung tangan, Top Glove meninggalkan asrama pekerja selepas waktu bekerja.

Kakitangan seramai 3,550 itu diarahkan untuk kekal berada di asrama dan tidak dibenarkan keluar termasuklah untuk mendapatan makanan.

Malah arahan juga dikeluarkan kepada kakitangan warga asing itu untuk kekal berada di asrama apabila mereka tamat syif pada pukul 7 pagi tadi.

Ini adalah memudahkan proses pembendungan wabak Koronavirus (Covid-19) dan urusan bancian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menjalankan ujian saringan.

Langkah berkenaan juga susulan pengumuman kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan asrama pekerja di Meru, Klang.

“Sebenarnya yang itu (pekerja Top Glove keluar masuk asrama) disebabkan semalam mereka masih bekerja syif 7 malam sehingga 7 pagi.

“Jadi pekerja yang syif pukul 7 pagi itu mereka balik dan kita benarkan mereka berada di sini (asrama) dan selepas ini kita tidak akan benarkan mereka keluar lagi.

“Pada masa ini operasi (PKPD) hanya melibatkan pekerja asrama yang duduk di dalam sektor A dan B sahaja.

“Yang berada di luar kawasan ini masih lagi boleh bekerja seperti biasa.”

Demikian kata Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh seperti dilaporkan portal MalaysiaGazette hari ini.

Penguatkuasaan PKPD di kawasan asrama terbabit melibatkan penginapan lelaki dan wanita yang terletak di Jalan Abadi 1A/KU8 dan 10A/KU8 sejak pukul 12 tengah malam tadi.

Pelaksanaannya adalah selepas kemunculan Kluster Teratai yang menyebabkan peningkatan kes baharu sebanyak 215 kes pada 15 November lalu.

Tambah Nurulhuda, selain pekerja duduk di asrama, yang tinggal dekat kawasan berhampiran juga diwajibkan menjalani ujian saringan.

Selain itu, penduduk tempatan yang terlibat dalam PKPD itu juga perlu menjalani ujian saringan dan tidak dibenarkan keluar.

“Sebahagiannya (pekerja Top Glove) adalah yang duduk di luar kawasan yang dikenakan PKPD ini. Ada lagi yang duduk di luar,” katanya.

“Bagi pekerja Top Glove, syarikat itu yang tanggung, bagi yang lain itu adalah di bawah Kerajaan Negeri Selangor.

“Jika terdapat penduduk tempatan yang terlibat dalam PKPD di sini, kos saringan dan makanan ditanggung oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” jelasnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button