Nahas helikopter: Dua mangsa dikenal pasti, Datuk Ahmad Jauhari selamat
POLIS mengesahkan dua mangsa yang meninggal dunia dalam nahas pertembungan dua helikopter pagi tadi dalam perjalanan dari Subang, Selangor ke Genting Sempah, Pahang.
Difahamkan, dua yang maut ialah juruterbang dan penumpang helikopter berkenaan, Mohamed Sabri Baharom, 56 dan Mohd Irfan Rawi, 44.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, kedua-dua mangsa yang maut itu adalah daripada My Heli Club.
“Seorang adalah juruterbang manakala seorang lagi adalah pelajar dan kita difahamkan mereka sedang membuat latihan.
“Dua lagi penumpang yang berada di sebuah lagi helikopter berjaya mendarat dengan selamat dan berada dalam keadaan stabil,” katanya yang berada di lokasi kejadian.
Menurutnya, dua lagi yang selamat ialah Datuk Ahmad Jauhari Yahya, 66 dan Tan Chai Elan, 51, yang berjaya membuat pendaratan kecemasan.
Jelasnya, kedua-dua helikopter itu telah berlanggar di udara dan punca kematian masih disiasat.
Tambahnya, semua punca kemalangan di udara akan disiasat Jabatan Penerbangan Awam (DCA).
Dalam pada itu, seorang daripada mangsa yang terselamat, iaitu Kapten Ahmad Jauhari adalah Presiden My Heli Club.
Kapten Ahmad Jauhari juga sebelum ini pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAS), Ahmad Jauhari Yahya. – SM