Politik

Kadir troll Bossku dilantik sebagai Pengerusi BNBBC

Bekas penasihat media kerajaan Pakatan Harapan (PH) Datuk Kadir Jasin menyindir atau troll Datuk Seri Najib Tun Razak apabila dilantik sebagai Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) di Parlimen.

“Tak apalah kerana BN pun bukan kerajaan lagi. Jadi kelab ini lebih kurang macam Kelab Suka Ria Pemuda Pemudi zaman dulu,” sindir Kadir kepada Najib yang popular dengan panggilan Bossku.

Kadir melancar serangan terbaharu selepas Najib mencabar Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk berbahas.

Dr. Mahathir dalam jawapan sinisnya pula berkata, “Tidak ada apa yang hendak kita bahaskan oleh kerana kamu sudah didapati bersalah”.

Menurut Kadir dalam erti kata yang lain, Dr. Mahathir menganggap bahas di antara beliau dengan Najib selesai apabila Najib didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 Julai lalu dan dihukum penjara 12 tahun serta denda RM210 juta kerana pecah amanah RM42 juta duit SRC International Sdn Bhd.

“Dr Mahathir dan sesiapa saja yang waras pemikiran tidak perlu ambil kisah sangat dengan seorang yang dilabel “convicted felon” oleh Pertubuhan Berita Nasional, Bernama. Dalam bahasa Melayu ia bermaksud penjenayah yang dihukum.

“Ini, bagaimanapun, tidak termasuk Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) di Parlimen yang dilaporkan melantik beliau sebagai Pengerusi,” katanya.

Lagi pun, kata Kadir, Najib ada peluang berbahas dengan Dr Mahathir masa dia Perdana Menteri iaitu dalam majlis “Nothing2Hide” di PWTC pada tahun 2015. Tapi tidak berani.

“Tapi ada satu “bahas” yang Najib wajib ambil berat dan persiapkan diri kalau dia tidak mahu masuk jel iaitu rayuannya kepada Mahkamah Rayuan.

“Kalau Najib galak sangat nak bahas dengan Dr Mahathir, dia masih boleh berbuat demikian di Dewan Rakyat yang sedang bersidang sekarang,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button