AHLI Politik tidak sepatutnya menjadikan titah Yang di-Pertuan Agong mengenai tiada keperluan untuk melaksanakan Perintah Darurat sebagai perkara utama.
Tumpuan sepatutnya adalah kepada titah Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah, mengenai tumpuan menstabilkan negara dengan tidak bermain isu politik.
Malah, baginda juga meminta supaya Ahli Parlimen memberikan tumpuan kepada Belanjawan 2021 yang diperlukan rakyat dalam menangani wabak Koronavirus (Covid-19).
Oleh demikian, ahli politik terutama pembangkang perlu mengambil serius titah yang Al Sultan Abdullah dan tidak mengganggu gugat kerajaan.
“Pembangkang harus mengambil serius titah Agong yang meminta semua pihak berhenti bermain politik dan bersikap lebih bertanggungjawab.”
Demikian kata penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Sivamurugan Pandian yang dipetik laporan portal Free Malaysia Today hari ini.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain memaklumkan penolakan cadangan Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong adalah perkara biasa.
“Agong dan Majlis Raja-raja sudah tentu ambil kira semua pertimbangan. Kini masa depan perdana menteri dan kerajaan bergantung kepada proses di Parlimen,” katanya.
Justeru, beliau menyifatkan penolakan cadangan pelaksanaan Perintah Darurat oleh Al Sultan Abdullah adalah proses biasa dalam sistem pentadbiran negara yang mempunyai raja berperlembagaan.
Terdahulu, Istana Negara memaklumkan baginda menzahirkan Perintah Darurat tidak diperlukan dalam menangani wabak Covid-19 kerana kerajaan sekarang berjaya membendungnya dengan berkesan.
Oleh demikian baginda menolak cadangan Muhyiddin yang mencadangkan Perintah Darurat mengikut Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan.
Muhyiddin dilapor mempersembah cadangan tersebut ketika menghadap Agong di Istana Abdul Aziz di Pekan, Pahang pada petang Jumaat lalu.
Cadangan tersebut dipersetujui sebulat suara oleh Jemaah Menteri dan pegawai tinggi kerajaan yang hadir Mesyuarat Khas Kabinet pada sebelah pagi di Putrajaya.
Walau bagaiamanapun, cadangan tersebut ditolak selepas Majlis Raja-Raja Melayu mengadakan sidang khas semalam.
Rentetan itu, terdapat dakwaan mengatakan Muhyiddin wajar meletakkan jawatan kerana gagal memberi keyakinan kepada Ketua Negara dalam melaksanakan dasar.
Bagaimanapun, Muhyiddin dikatakan tidak perlu meletakkan jawatan berdasarkan kenyataan daripada Datuk Pengelola Bijaya Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.
Dalam kenyataan tersebut, beliau memaklumkan baginda memberi amaran supaya Ahli Parlimen tidak perlu meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan Kerajaan sedia ada.
Menurut, Pensyarah Kanan dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr. Kamarul Zaman Yusoff, berdasarkan kenyataan Istana Negara, baginda mahu kerajaan sedia ada disokong.
“Ini bermakna Agong mahu kerajaan sedia ada disokong dan tiada percubaan dibuat untuk menggugatnya
“Pemimpin pembangkang tidak perlu bergembira dengan keputusan Agong menolak permintaan Muhyiddin untuk mengisytiharkan darurat kerana Sultan Abdullah juga percaya kerajaan sekarang berjaya menangani wabak Covid-19 dengan baik dan berkesan,” katanya. – SM