Nasional

Felda Chuping berpotensi dibangun sebagai pelancongan agro

Kawasan Felda Chuping memiliki pelbagai potensi pelancongan agro yang wajar diterokai untuk kerjasama pelaburan di samping dipromosikan untuk tujuan pelancongan.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan meninjau kawasan Projek Integrasi Ternakan Felda Chuping (PITC).

Keberangkatan baginda adalah sempena penyempurnaan aktiviti ‘MAIPs Peduli Bilangan ke 54 bagi tahun 2020’ yang bermula dan berakhir di perkarangan Dewan Besar Felda Chuping.

Tuanku Raja Muda disambut oleh Pengurus Besar Wilayah Felda, Izham Ramli dan Pengurus Felda Chuping, Wan Saiful Izwan Wan Salim.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Penasihat Undang-Undang Negeri, Mohd Radhi Abas dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Antara lokasi yang dikunjungi ialah kawasan pembiakan lembu yang pada ketika ini berjumlah 350 ekor dan juga biri-biri sebanyak 300 ekor.

Baginda juga berkenan meluangkan masa melihat takungan kolam ikan dan juga ‘Shah Stable’ yang memelihara kuda dan juga arnab yang diusahakan oleh generasi kedua peneroka Felda berkenaan diketuai oleh Shahidi Shahidan yang dibuka untuk kunjungan orang ramai.

Terdapat juga ladang getah dan juga tanaman 2,500 pohon pokok mempelam harumanis Perlis di dalam kawasan Felda berkenaan.

Terdahulu daripada itu Tuanku Raja Muda turut berkenan singgah di tiga buah rumah asnaf terpilih dari kalangan masyarakat setempat bagi menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs selain menerima taklimat mengenai perkembangan mutakhir projek baik pulih Masjid Nurul Huda Felda Chuping dan juga pembinaan Klinik Kesihatan baru di situ.

Seusai program tersebut, baginda diiringi anakanda sulung, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail berkenan berangkat menghadiri resepsi perkahwinan Nur Nadia Hanim Muhamad Nazri dengan pilihan hatinya Abdullah Khan Shan yang berasal dari Islamabad, Pakistan dalam satu majlis dihoskan ibu bapa pengantin perempuan iaitu Muhamad Nazri Annuar yang merupakan rakan sama sekolah baginda dan Musitah Kamis di Restoran Abahmama Route79 milik mereka di Lot 2686 Bukit Keriang Pulas, Jalan Felda Chuping. – SM

(Visited 1,380 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button