Raja Muda Perlis lancar SWAN secara telesidang
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama-sama Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) akan menganjurkan Seminar Warisan Nabawi (SWAN) Peringkat Antarabangsa Kali Ketujuh Tahun 2020 pada hari khamis dan jumaat 29 hingga 30 Oktober 2020 bersamaan 12 & 13 Rabiul Awal 1442 Hijrah yang akan datang ini dengan kerjasama Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Majlis pelancaran secara telesidang bakal disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs dan juga Tuanku Canselor KUIPs.
Tema seminar yang diadakan secara digital pada kali ini ialah “Peaceful Co-Existence in Religious Diversity from Prophetic Paradigm: Challenges and Opportunities”.
Antara para pembentang utama yang diundang ialah Datuk Arif Perkasa Prof Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis dan Datuk Kaya Bakti Dr. Mohd Radzi Haji Othman, Rektor KUIPs.
Terakhir sekali SWAN diadakan ialah pada Oktober 2018 di International University for Renewal (IUR), Istanbul, Turki yang turut dirasmikan oleh baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika memperkenankan keberangkatan untuk merasmikan persidangan SWAN kali ini, amat berharap agar ia mampu untuk terus menjadi platform bagi membincangkan dilema dan cabaran dunia Islam hari ini serta mencambah peluang dan idea positif yang praktikal sebagai solusi menghadapi isu semasa selain mengumpulkan para cendekiawan, membincangkan isu-isu global berkaitan sunnah dan fungsinya terhadap kesejahteraan semua pihak.
Tuanku Raja Muda juga berharap agar SWAN dapat memperjelaskan pandangan orang luar yang mempercayai bahawa agama Islam melalui al-Quran dan Sunnah mampu memberi jalan ‘keluar’ kepada permasalahan yang dihadapi, selain; mampu membawa idea dan ciptaan cemerlang untuk merealisasikan kehebatan sunnah sebagai dasar toleransi dan menerapkan penghayatan dan pembangunan jati diri masyarakat dalam rangka ke arah menjadi sebuah negara moden dan berintegriti.
Seperti pada anjuran-anjuran sebelum ini, adalah diharapkan juga agar ia dapat terus menjadi wadah pertukaran idea dan percambahan pemikiran di antara semua di mana gabungan cendekiawan dan intelek mampu menjalin usahasama ilmiah bukan sahaja antara IPT di Malaysia, malah IPT antarabangsa di samping berjaya memberikan input-input terkini, berkualiti serta pemahaman jitu berkaitan pendekatan sunnah nabawiyah dalam membentuk dan melahirkan kesejahteraan sejagat.