Politik

Parti politik dicadangkan laksana perdamaian nasional

PARTI politik dicadangkan melaksanakan perdamaian nasional tatkala UMNO sendiri dalam mesyuarat Biro Politiknya baru-baru ini, bercadang untuk keluar daripada Perikatan Nasional (PN) dan memberikan syarat baharu kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Demikian cadangan yang dilontarkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki melalui satu kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, sudah tiba masanya ahli politik tanpa mengira parti melakukan gencatan politik dan memikirkan solusi terbaik bagi kesejahteraan rakyat.

Ini, ujar beliau, memandangkan situasi negara pada ketika ini dilihat meresahkan apabila rakyat semakin susah dan ekonomi negara pula, menguncup.

Mungkin inilah saat terbaik bagi kita untuk sama-sama meletakkan perbezaan yang ada ke tepi demi memberikan penumpuan kepada agenda pendamaian nasional, kata Asyraf.

“Perkara yang dimaksudkan dengan agenda ini bukanlah bermakna kita mencairkan identiti mahupun ideologi perjuangan parti masing-masing.

“Agenda ini memberi keutamaan kepada parti politik menangguhkan persengketaan dalam soal perebutan kuasa,” jelas beliau.
Beliau menambah, segala kudrat, kecerdasan minda dan sumber daya digembleng bersama untuk mendatangkan formula terbaik bagi membantu rakyat.

Beliau juga berkata, agenda perdamaian politik juga adalah manifestasi ketulusan kepimpinan setiap parti siasah untuk menzahirkan nilai perjuangan sebenar yang bukan hanya seputar perebutan takhta tetapi benar-benar untuk membantu rakyat.

Baginya, setiap pemimpin politik perlu memiliki iltizam dan komitmen serta kejujuran politik yang jitu untuk menjayakan agenda itu secara bersama.

“Jangan nanti kita dihukum oleh rakyat yang semakin mual dengan sikap politikus yang berterusan berbalah isu politik kuasa bagaikan tiada penghujung, ” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button