Politik
Trending

Kes Arwah Adib: Menteri Dalam Negeri jangan berdiam diri

SUDAH lebih setahun Mahkamah Koroner memutuskan punca kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim adalah perbuatan jenayah.

Namun, selepas bertukar kerajaan, kes tersebut terus tiada perkembangan sama ada suatu tindakan akan diambil bagi memastikan keadilan.

Malah, tiada kedengaran pun penangkapan suspek yang menyebabkan kecederaan parah kepada anggota bomba berkenaan untuk dihadapkan ke mahkamah.

Cadangan inkues baharu terhadap kes berkenaan seperti dicadangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Ogos lalu juga sehingga kini masih tiada sebarang tindakan.

“Sehingga kini, sejak kali terakhir Menteri Dalam Negeri mencadangkan membuka inkues semula dan dikritik netizen pada Ogos lalu nampaknya langsung tiada tindakan susulan yang dimaklumkan.

“Ibarat isu kematiannya cuba disenyapkan sedikit demi sedikit dan tidak diambil peduli oleh kerajaan sama seperti zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

“Hal ini seperti sengaja dilengahkan seperti ada tujuan tertentu.

“Keputusan Mahkamah Koroner pada 27 September tahun lalu yang memutuskan punca kematian Arwah Adib disebabkan perbuatan jenayah.

“Membabitkan dua atau lebih individu tidak dikenali itu ibarah sekadar satu laporan atas kertas sahaja.

“Tiada penangkapan suspek, tiada hukuman dijatuhkan. Kes ini ibarat kes misteri yang tiada jawapan.

“Apa lagi yang ditunggu sedangkan laporan inkues sudahpun dikeluarkan?”

Demikian persoalan dibangkitkan Ketua Pergerakan Wira Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Nasrul Ali Hasan Abdul Latif dalam satu kenyataannya baru-baru ini.

Sebagai imbasan, pada 26 November 2018, satu pergaduhan tercetus membabitkan dua kumpulan di Kuil Sri Maha Mariamman di Shah Alam, Selangor.

Pergaduhan tersebut tercetus berhubung pengambil alihan tapak tanah kuil berkenaan yang didakwa enggan berpindah selepas bertukar hak milik.

Pergaduhan tersebut akhirnya mencetuskan rusuhan apabila 18 kenderaan dibakar dan 700 anggota keselamatan digerakkan untuk membuat kawalan di sana.

Keadaan tersebut berlangsung selama dua hari apabila dua lagi kenderaan dibakar dan hanya pada pukul 9 pagi pada 27 November 2018 keadaan kembali tenang.

Seramai 21 individu ditahan dalam rusuhan terbabit selepas 29 laporan polis terhadap insiden tersebut diterima.

Pada hari kedua itu, anggota UNit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Muhammad Adib, 24 diserang dan dipukul sehingga parah.

Sementara jentera bomba yang dibawa ke lokasi rusuhan itu dirosakkan bersama dua kenderaan lain yang dibakar.

Susulan itu, Muhammad Adib dimasukkan ke unit rawatan rapi di Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby, Subang Jaya, sebelum dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN).

Akibat insiden itu juga, Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman dakwa Muhammad Adib parah akibat kemalangan jalan raya.

Bagaimanapun, dakwaan tersebut dinafikan Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

VERNAKULAR
NASRUL ALI HASAN ABDUL LATIF

Dalam pada itu, Nasrul Ali Hasan turut menggesa Menteri Dalam Negeri supaya mula mengambil tindakan terhadap keputusan Mahkamah Koroner kerana sudah terlalu lama dibiarkan.

Menteri Dalam Negeri juga digesa memaklumkan sebarang perkembangan terkini berhubung tindakan membawa semula suspek terbabit ke mahmakah untuk menerima hukuman setimpal.

“Justeru, Wira Putra gesa Menteri Dalam Negeri ambil tindakan segera dan gerakkan pasukan bagi membawa keadilan dan hukum pembunuh yang masih bebas di luar sana.

“Tindakan membiar suspek bebas dan tidak dihukum menunjukkan kelemahan fungsi penguatkuasaan dan ia tidak wajar berlaku kerana Wira Putra yakin dan percaya pihak berkuasa di Malaysia amat berpengalaman mengurus hal-hal kritikal seperti ini.

“Wira Putra juga memohon agar Menteri Dalam Negeri agar dapat membuat kenyataan status terkini bagi memaklumkan rakyat perkembangan kes ini,” tegasnya.

Beliau juga menyatakan Wira Putra mengecam jika terdapat sebarang faktor campur tangan politik terhadap kes tersebut sehingga menyebabkan ia sengaja dilengahkan.

Muhammad Adib dilapor meninggal dunia pada 17 Disember 2018 selepas keadaan kesihatannya kembali merosot.

Allahyarham bagaimanapun sebelum itu menunjukkan perkembangan positif selain tidak bergantung kepada mesin sokongan jantung. – SM

(Visited 618 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button