Politik

Ronnie Liu jangan angkuh, kenang jasa Dr. Mahathir

SUARAMERDEKA- Kemelut perbalahan sesama komponen di dalam Pakatan Harapan (PH) kini semakin di luar kawalan seolah-olah membuktikan kata-kata pembangkang bahawa kesepakatan antara mereka kini dilihat umpama retak menanti belah.

Melihat serangan terbaru membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek dari DAP, Ronnie Liu Tian Khiew terhadap Perdana Menteri (PM), Tun Dr. Mahathir Mohamad mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seolah-olah membongkar akan perseteruan yang semakin parah sesama sendiri.

Namun persoalan utama kini adalah siapa yang perlu dipersalahkan dalam kemelut terbaharu ini? Apakah kemelut sebegini berbaloi untuk dipertontonkan kepada rakyat yang kini semakin bijak menilai?

Semua sedia maklum bahawa kesepakatan yang wujud demi menumbangkan koalisi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu memang dilihat longgar dan lemah.

Ini kerana rakyat masih tertanya-tanya hingga kini bagaimana pemimpin yang pernah berseteru, mencaci, memaki hamun malah hingga disumbat ke dalam penjara oleh PM keempat yang kini menjadi PM ketujuh mampu melupakan sejarah pahit sesama mereka begitu sahaja.

Ramai masih belum lupa bagaimana Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng, antara segelintir pemimpin yang pernah dihumban ke penjara tetapi kini boleh bekerjasama dengan Dr. Mahathir dalam membina sebuah Malaysia Baharu.

Dan apabila menang PRU kesemua mereka berjanji kisah lama tidak perlu diungkit dan telah tiba masa untuk membina semula Malaysia yang lebih bersih.

Bagaimanapun janji itu tidak dipenuhi kerana masih berlaku perseteruan dari masa ke semasa, sama ada terang-terangan atau secara baling batu sembunyi tangan antara sesama kompomen terutama melibatkan berapa lama Dr. Mahathir akan terus memegang tampuk pemerintahan.

Namun ribut terbaharu melibatkan komik propaganda ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’, melibatkan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau mencetuskan polemik yang semakin keterlaluan.

Dan apabila Ronnie Liu pula bertindak melampau sehingga menggesa parti Bersatu disingkirkan dari gabungan PH, ia menyemarakkan lagi perseteruan yang bukan lagi rahsia itu.

Najwah Halimah

Bagi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Najwah Halimah Ab. Alim, Ronnie Liu dan DAP perlu terima hakikat bahawa kerajaan hari ini wujud adalah atas faktor Dr. Mahathir.

Ujarnya, kemenangan pada PRU lalu bukan kerana parti Bersatu, PKR, DAP atau AMANAH. Oleh itu ujarnya, hentikanlah bercakap seperti kita semua menang kerana disebabkan bendera atau parti politik.

“Kita perlu buat kerja untuk rakyat. Bukan bertelingkah kerana siapa kuat. Oleh itu segelintir pemimpin DAP perlu diam dan jangan bercakap hingga buat rakyat menyampah.

“Hakikatnya, kenyataan Ronnie Liu itu sedikit pun tidak mengoyakkan ‘harimau kertas’ yang di labelkan terhadap Dr. Mahathir,” katanya yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Tekun Nasional.

Oleh itu menurut beliau lagi, Ronnie Liu tidak layak menjadi salah seorang pemimpin dalam PH kerana sikapnya yang suka melaga-lagakan sesama kepimpinan.

“Jangan ingat kemenangan yang di kecapi DAP hari ini kerana usaha mereka semata-mata.

“Puluhan tahun DAP cuba menjatuhkan BN , dan ia tidak pernah berjaya. Sejarah hanya tercipta apabila Dr. Mahathir bersama-sama mereka semua di dalam PH,” kata Najwah Halimah.

Pandangan sama turut dikongsi oleh Setiausaha Armada Bersatu Negeri Sembilan, Muhammad Firdaus Mohd. Rashid yang membidas Ronnie Liu kerana mencadangkan kepada Majlis Presiden PH untuk menyingkirkan Bersatu dari gabungan itu.

Menurut Muhammad Firdaus, kenyataan Ronnie Liu yang menyifatkan PH akan tetap berjaya tanpa Bersatu sebagai mengarut dan mempunyai agenda tertentu.

“Saya mencabar Ronnie Liu membawa perkara ini di dalam mesyuarat Majlis Presiden PH dan saya nak lihat sejauh mana DAP boleh pergi tanpa adanya Bersatu di dalam PH.

“Kenyataan Ronnie Liu itu melampaui batas dan keterlaluan dan ia boleh menjejaskan hubungan dan kerjasama antara parti dalam PH.

“Saya mahu mengingatkan kepada Liu, jangan terlalu takbur, angkuh dan sombong terhadap apa yang DAP kecapi dalam kerajaan hari ini.

“Ini kerana tanpa kebijaksanaan Dr. Mahathir yang mengetuai Bersatu dalam merencana strategi pada PRU yang lalu, tidak mungkin DAP boleh berada dalam blok kerajaan pada hari ini,” kata Muhammad Firdaus.

Ujarnya, tanpa adanya sokongan dan bantuan dari Bersatu terutama dalam menaikkan sokongan orang Melayu khususnya, mustahil DAP akan berjaya seperti sekarang.

Katanya lagi, pelantikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri adalah hasil persetujuan bersama dalam kepimpinan PH, maka segala keputusan yang dilakukan oleh Perdana Menteri perlu dihormati.

“PH telah bertungkus lumus berjuang bersama sebelum ini demi memenangi PRU lalu, maka saya nasihatkan kepada Ronnie Liu hentikanlah politik dengan agenda murahan sebegini dan fokuslah kepada tugasan masing-masing demi rakyat,” kata Muhammad Firdaus.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

shahrin

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button