Agong murka pihak salah guna nama, institusi Istana Negara
YANG di-Pertuan Agong, As Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa murka terhadap sebuah berita palsu.
Berita palsu tersebut didakwa memetik nama baginda dan institusi Istana Negara sama ada untuk kepentingan politik ataupun peribadi.
Hal demikian mencemar kredibiti Yang di-Pertuan Agong dan Istana Negara sebagai pemerintah tertinggi negara.
Malah berita tersebut juga dipercayai akan menimbulkan kegusaran rakyat serta menggugat ketenteraman dalam negara dari pelbagai sudut.
“Adalah dimaklumkan bahawa Istana Negara memandang serius terhadap perbuatan tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama atau membabitkan Yang di-Pertuan Agong.
“Istana Negara sentiasa memantau dan memandang serius terhadap kenyataan tidak benar oleh beberapa individu kepada media.
“Yang menggunakan nama dan menyebarkan foto-foto Yang di-Pertuan Agong serta Istana Negara melalui aplikasi Whatsapp.”
Demikian kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataannya hari ini.
Tambah beliau, pihak Istana Negara tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab itu termasuklah membuat laporan polis.
Ini kerana menurutnya, tindakan pihak terbabit mencalar kredibiliti Yang di-Pertuan Agong turut melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Sehubungan itu, Istana Negara, jika mendapati perlu, tidak akan teragak-agak untuk melaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Begitu juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi tindakan lanjut di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Dalam masa sama, Istana Negara menyarankan rakyat agar tidak mudah panik dan percaya dengan berita palsu yang tersebar.
“Istana Negara turut menyarankan agar berita-berita palsu ini tidak dikongsi bersama untuk mengelakkan tindakan oleh PDRM dan SKMM,” tegasnya. – SM