Nasional

Produk bijirin ada babi, pengguna Islam dinasihat baca label

PENGGUNA Islam dinasihatkan untuk berhati-hati ketika membeli produk bijirin yang berada di pasaran berikutan terdapat produk berkenaan yang mengandungi daging babi.

Menurut Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, pengguna Islam juga sewajarnya meneliti terlebih dahulu label bungkusan produk makanan sebelum membeli atau menggunakannya.

Nasihat tersebut dikeluarkan berikutan tular di media sosial keraguan warganet mengenai status satu produk bijirin keluaran syarikat Bee Cheng Hiang.

Bahagian Pengurusan Halal Jakim berkata, syarikat tersebut bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia kerana menggunakan daging babi sebagai produk keluaran mereka.

“Untuk makluman, produk bijirin Ez Mini Crunchies Crispy Pork Floss keluaran syarikat Bee Cheng Hiang bukan pemegang dan tidak layak untuk memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia kerana menggunakan bahan ramuan yang tidak halal dari sumber babi,” kata Bahagian Pengurusan Halal Jakim dalam satu kenyataan.

Bee Cheng Hiang adalah sebuah syarikat yang berpangkalan di Singapura yang mengeluarkan produk makanan Cina termasuk daging babi salai, bak kwa yang popular dalam kalangan masyarakat Cina.

Justeru pengguna muslim perlu mengelakkan keraguan dengan mengutamakan produk atau premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah.

Ini kerana produk yang mempunyai sijil tersebut dijamin halal dan toyyiban iaitu suci, bersih dan selamat serta mengikut garis panduan, standard serta perundangan berkaitan halal yang telah ditetapkan di negara ini.

Untuk mengetahui produk dan premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia, sila layari Portal Halal Malaysia di www.halal.gov.my. Semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar SmartHalal http://www.smarthalal.com.my/faq.html -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button