Rencah HidupSukan

Bekas atlet negara harap bantuan JKM, nyanyi di Sogo untuk sara dua anak

CERITA mengenai bekas atlet pernah mewakili negara dahulu dan kini hidup serba kekurangan bukanlah sesuatu yang baharu.

Malah, pernah dilaporkan di dada-dada akhbar serta berita dalam talian mengenai nasib mereka.

Tetapi, selepas bertahun nasib mereka tetap menjalani kehidupan yang sama.

Begitu nasib seorang bekas atlet orang kurang upaya (OKU), Nurul Shakina Teh Abullah, 45, yang pernah mewakili negara dalam pelbagai acara renang para suatu ketika dahulu.

Sumbangannya dalam temasya sukan juga cukup memberangsangkan apabila pernah melayakkan diri dalam temasya antarabangsa.

Antaranya Sukan SEA di Hanoi, Vietnam pada 2003 dan Thailand 2007. Selain itu pernah mewakili negara dalam kejohanan Asia Pasifik pada 2006.

Tetapi hidupnya kini tidak setara sumbangannya pada negara walaupun bergelar atet para dan pernah dinobat sebagai olahragawati Pulau Pinang dan Selangor.

Ketika menziarahi kediaman beliau di Taman Medan Cahaya di Petaling, Jaya, Selangor, Nurul Shakina hanyalah tinggal dekat sebuah rumah flat dan serba kekurangan.

Kekurangan yang dimaksudkan bukanlah rumahnya tidak sempurna tetapi kelengkapannya kurang terutama sekali apabila memikul tanggungjawab membesarkan dua orang anak sebagai ibu tunggal.

Menurut Nurul Shakina, selepas beliau tidak lagi beraksi dalam acara sukan beliau menjalani kehidupan yang sukar.

“Saya pernah bekerja dekat sebuah syarikat milik Sime Darby sehingga 2016, kemudian terpaksa berhenti kerja.

“Berhenti sebab projek yang diusahakan syarikat sudahpun tamat, tetapi tidak dapat berpindah ke tempat lain sebab saya OKU.

“Sebagai OKU kerja yang boleh dibuat juga terhad. Malah kalau terus bekerja pun saya kena pergi ke tempat lain, jadi sukar untuk pergi ke tempat kerja.

“Jadi saya terpaksa berhenti.”

Demikian kata Nurul Shakina yang kini tinggal bersama dua orang anaknya berusia 15 dan 11 tahun.

MOHD. KHAIRUDDIN OTHMAN menziarahi Nurul Shakina Teh Abdullah di kediamannya dekat Taman Medan Cahaya di Petaling Jaya, Selangor

Katanya, kehidupannya menjadi lebih sukar apabila terpaksa berpisah dengan suami ketika anak keduanya baharu berusia enam bulan.

Sejak itu dia sebagai seorang ibu tunggal OKU membesarkan dua orang anaknya sendirian dengan pendapatan sebagai seorang penyanyi busking.

“Sejak berhenti keraja, saya mula menyanyi secara busking di hadapan pusat beli belah Sogo setiap Sabtu dan Ahad.

“Selain daripada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dia menggunakan hasil nyanyiannya setiap hujung minggu untuk menyara anak-anak sekolah.

“Yakeb (Yayasan Kebajikan Bekas Atlet Kebangsaan) pula membantu saya menampung hal-hal berkaitan kos perubatan dan kesihatan.

“Setakat ini Alhamdulillah, anak saya tidak putus makanan dan masih boleh bersekolah,” ujarnya.

Justeru, bagi meringankan bebannya, Nurul Shakina berharap kerajaan dapat memberikan skim pencen seperti yang disarankan oleh Exco Selangor, Mohd. Khairuddin Othman.

“Sebenarnya, saya sangat setuju degnan cadangan YB ada skim pencen untuk bekas atlet.

“Terutama mereka yang pernah bawa pulang pingat emas untuk negara. Saya sangat memerlukan,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button